BMW M8 Gran Coupe F93 – coupe empat pintu 625 hp

BMW M8 Gran Coupe F93 – coupe empat pintu 625 hp

BMW telah menunjukkan hasrat mereka untuk memperkenalkan M8 versi Gran Coupe sejak tahun lepas lagi, melalui model konsep. Sekarang, versi produksinya telah pun diperkenalkan, dikenali sebagai BMW M8 Gran Coupé F93. Kebanyakan kelengkapannya adalah sama seperti versi Coupe dan Convertible, tapi badannya adalah berbentuk coupe empat pintu.

Ini termasuklah enjin, di mana ia juga menggunakan unit V8 twin turbo 4.4 liter S63 yang sekarang turut digunakan untuk M5 F90 , X5 serta X6 M baru. Enjin ini mempunyai teknologi Valvetronic, injector berketepatan tinggi 350 bar dan mampu menghasilkan kuasa 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork pada antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

Kuasa ini disampaikan kepada semua roda melalui transmisi automatik lapan kelajuan M Steptronic dan sistem pacuan M xDrive. Walaupun mempunyai berat lebih 95 kg berbanding model dua pintu, Gran Coupe ini masih mampu mencatat masa pecutan 0-100 km/j yang sama, iaitu cuma 3.3 saat. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j, tetapi dengan M Driver’s Package ia boleh ditingkatkan kepada 305 km/j.

Kalau anda rasa itu sudah laju, sebenarnya BMW juga ada menyediakan versi Competition untuk Gran Coupe ini, yang meningkatkan kuasanya kepada 625 hp dan tork maksimum pada 5,800 rpm. Versi ini juga datang dengan tapak enjin lebih keras untuk memberikan maklum balas lebih pantas dan belokan lebih cepat, serta sistem ekzos M Sport. Masa pecutannya 0-100 km/j adalah 0.1 saat lebih pantas.

Pembahagian kuasa antara roda hadapan dan belakang boleh berubah bergantung kepada keadaan jalan dan tetapan yang dipilih. Meskipun dalam keadaan standard ia lebih kepada roda belakang, bila masuk ke mod 4WD Sport lebih banyak kuasa akan dihantar ke roda belakang sementara mod 2WD pula menjadikan semua kuasa hanya di belakang. Active M Differential masih digunakan pada gandar belakang.

Model ini mungkin dianggap sebagai kereta sports prestasi tinggi, tetapi penambahan 200 mm pada jarak rodanya emmpunyai tujuan untuk memberikan lebih keselesaan. Semua sistem casis dan kawalan telah dikalibrasi semula untuk memberikan pemanduan yang lebih baik tanpa mengorbankan kemampuan dinamiknya.

Sama seperti versi Coupe, casis model ini dilengkapi dengan penyerap adaptif dan tetapan kinematik serta elastokinematik khas untuk memberikan kedudukan roda yang lebih tepat serta stabiliti. Suspensi jenis double wishbone di hadapan menggunakan bearing swivel, torque arm serta control arm khas, bersama bearing elastomer untuk mengagihkan kuasa hentakan suspensi kepada seluruh subframe serta struktur badan.

BMW M8 Gran Coupe F93 – coupe empat pintu 625 hp

Di belakang pula, gandar five-link mendapat penyambung diperkuat khas untuk model M untuk meningkatkan kelincahannya, serta anti-roll bar yang lebih keras untuk kawalan suspensi serta maklum balas penyerap yang lebih tepat. Bahagian-bahagian lain kerangka turut diperkuat dengan pendakap khas. Model Gran Coupe Competition pula mempunyai lebih sudut camber di hadapan, dan menggunakan ball joint pada toe link belakang untuk meningkatkan dinamik mengambil selekohnya.

Turut dipasang adalah sistem brake-by-wire dengan modul kompak yang mengawal pengaktifan brek, fungsi kawalan dan boosting, serta booster brek tanpa vakum. Sistem ini lebih ringan berbanding tetapan brek hidraulik biasa dan memberikan tekanan brek pantas, sokongan kepada kawalan stabiliti yang lebih pantas dan tepat, serta rasa yang optimum.

Sistem ini juga memberikan pemandu pilihan dua mod iaitu Comfort dan Sport yang mengubah penyampaian tekanan brek. Ia boleh dipilih melalui butang Setup yang juga mengawal maklum balas enjin, kotak gear, suspensi, maklum balas stereng serta tetapan pacuan semua roda. Butang M Mode pula mengubah sistem bantuan pemandu dan informasi yang dipaparkan pada skrin kenderaan.

Dalam mod Road, semua sistem dan paparan berfungsi secara biasa, tetapi apabila diletakkan dalam mod Sport, hanya informasi berkenaan saja yang dipaparkan. Pemandu juga boleh menutup semua sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking dan Evasion Assistant. Model Competition mendapat mod Track yang menutup semua sistem bantuan, audio serta skrin tengah supaya pemandu boleh fokus kepada pemanduan.

Rekaan badan model ini turut dijadikan bersesuaian dengan prestasi yang diberi. Ia lebih tegap dan ganas, dengan di hadapan terdapat tiga bukaan udara besar dan splitter manakala di belakang terdapat diffuser yang besar serta empat muncung ekzos. Fender hadapan juga dijadikan lebih kembang.

Turut dipasang adalah spoiler belakang, cermin sisi khas untuk model M dan bumbung gentian karbon menggelembung. Rim 20 inci datang secara standard dan di sebaliknya terdapat cakera brek M 395 mm atau seramik karbon M 400 mm (pilihan tambahan).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required