Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

Sebelum Xpander diperkenalkan, Mitsubishi sebenarnya sudah banyak menghasilkan model tujuh tempat duduk termasuklah Grandis, Space Wagon (Chariot), Delica, Space Gear dan paling terkenal di negara kita sejak tahun 90-an, Pajero.

Bermula dengan Chariot, model ini muncul pada tahun 1983 dengan pilihan enjin petrol dari 1.6 liter hingga 2.0 liter, sementara enjin diesel 1.8 liter pula mula ditawarkan pada tahun 1984. Pada tahun sama, Chariot juga didatangkan dengan pilihan pacuan empat roda bagi model 2.0 liter dan pilihan enjin turbo 1.8 liter SOHC bagi versi MR Turbo.

Chariot generasi pertama terus dikeluarkan sehingga tahun 1991, sehinggalah ia diganti oleh model yang lebih besar dan mempunyai jarak roda lebih panjang. Model ini datang dengan beberapa pilihan enjin empat silinder termasuk 4G93 1.8 liter, 4G63 2.0 liter dan 4G64 2.4 liter.

Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

Selain daripada itu, model generasi ini juga menyaksikan pengenalan versi turbo 4WD keluaran terhad yang dipanggil sebagai Resort Runner GT. Ia menggunakan enjin sama seperti Lancer Evolution dan Galant VR-4, dan menghasilkan kuasa 230 PS untuk versi manual dan 220 PS untuk versi automatik.

Chariot generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 1997 dengan badan yang lebih besar, untuk memberi lebih ruang kepada pengguna dan dipanggil sebagai Chariot Grandis. Dari ladder frame, kerangkanya diubah kepada jenis monocoque dan dua lagi enjin ditambah sebagai pilihan iaitu unit empat silinder 2.4 liter dan V6 3.0 liter.

Pada tahun 2003, Mitsubishi Grandis diperkenal untuk menggantikan Chariot, dan ia ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder 2.4 liter MIVEC 4G69 dan diesel turbo empat silinder 2.0 liter. Bergantung kepada pasaran, pilihan transmisi yang disediakan adalah antara manual lima kelajuan, automatik empat kelajuan atau manual enam kelajuan untuk versi enjin diesel.

Selepas Grandis diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2005, model facelift pula memasuki pasaran pada tahun 2007, dengan menawarkan kuasa 165 PS dan 217 Nm tork, hasil penggunaan enjin petrol empat silinder 2.4 liter MIVEC dan gabungan transmisi automatik empat kelajuan INVECS-II.

Pada tahun 2010, MPV 2.4 liter ini sekali lagi diberi peningkatan dengan senarai kelengkapan yang lebih banyak, termasuk lampu utama xenon boleh laras sendiri, head unit skrin sesentuh LCD dengan navigasi satelit, paparan kamera undur, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin serta pintu ruang barangan belakang bukaan elektrik.

Model Delica mempunyai penampilan lebih ranggi. Nama itu diambil daripada ‘Delivery Car’ dan sebenarnya sudah digunakan sejak tahun 1968 pada van Mitsubishi yang mempunyai bumbung tinggi seperti Coach Deluxe tahun 1971 dan Star Wagon Exceed 4WD tahun 80-an dan 90-an.

Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

Bermacam jenis enjin ditawarkan untuk model ini, dan bagi model generasi ketiga, ia datang dengan enjin petrol dari 1.4 liter hingga 2.4 liter dan diesel 2.5 liter. Enjin diesel 2.6 liter NA juga ada disediakan, bersama pilihan transmisi sama ada automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan.

Delica generasi keempat dikenali dengan nama Space Gear dan kali ini ia tidak lagi ditawarkan dengan versi trak seperti sebelumnya. Model ini juga melihatkan kedudukan enjinnya ditarik lebih ke hadapan sekaligus menjadikan bonet hadapan juga lebih panjang.

Kapasiti enjin juga ditambah lagi untuk model generasi keempat, dan kini pilihannya terdiri daripada unit petrol empat silinder 2.4 liter atau V6 3.0 liter, sementara untuk versi diesel turbo pula ia terdiri daripada unit 2.5 liter dan 2.8 liter, bergantung kepada pasaran.

Space Gear kemudiannya diganti oleh Delica generasi kelima pada tahun 2014, dan ia dipanggil sebagai ‘MPV Utiliti Sport pertama di dunia’ pada masa itu. Meskipun di Indonesia Delica cuma datang dengan pacuan dua roda dan nampak lebih kepada untuk kegunaan atas jalan biasa berbanding Space Gear, ia masih mempunyai jarak dari tanah 190 mm, dipasang dengan tayar profail tinggi dan suspensi panjang.

Pada tahun 2018 muncul pula Delica D:5, yang mempunyai penampilan lebih radikal berbanding generasi sebelumnya. Lampu utama model ini lebih nipis, manakala lampu siang pula dibentukkan menegak. Bawah bonetnya terdapat enjin diesel turbo 2.2 liter DI-D berkuasa 170 hp dan 392 Nm tork.

Kuasa ini disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan, dan sistem pacuannya mempunyai tiga mod. Tiga baris tempat duduk masih digunakan pada model ini tetapi ia cuma boleh menempatkan enam penumpang kerana baris kedua menggunakan tempat duduk jenis berasingan.

Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

Selain penggemar offroad, pengguna jalan raya lain juga ramai yang minat dengan Pajero di Malaysia. Pada tahun 2014 ia telah diberikan facelift kedua bagi model generasi keempat. Pajero asalnya diperkenalkan pada tahun 1982 dan menjadi popular kerana mempunyai kemampuan meredah jalan offroad, tetapi masih memberikan rasa pengendalian seperti kereta jalan biasa.

Pajero generasi kedua muncul pada tahun 1991 dengan sistem Super Select 4WD yang menyediakan kedua-dua pacuan empat roda sepanjang masa dan separuh masa. Pada waktu itu, sistem ini adalah yang pertama bagi 4WD jenama Jepun dan ia menawarkan pemandu dengan pilihan high range RWD, high range 4WD, high range 4WD dengan differential tengah yang dikunci dan low range 4WD dengan differential tengah yang dikunci.

Perubahan paling besar bagi Pajero adalah pada generasi ketiga apabila ia menggunakan badan monocoque, dengan ladder frame bersepadu menggantikan binaan body-on-frame. Tetapan ini menjadikan badannya lebih ringan dan pada masa sama masih lagi kuat berbanding rekaan sebelumnya. Tangki minyak pula diubah dan diletakkan antara dua gandarnya bagi memberi agihan berat lebih baik dan memperbaiki jarak kelegaan dari tanah.

Model generasi ketiga ini juga menyaksikan pengenalan enjin petrol V6 3.8 liter yang mempunyai kuasa 203 PS, dan terus diguna untuk model generasi keempat yang tiba pada tahun 2006. Pada model facelift generasi keempat, enjin ini dinaik taraf untuk memberikan kuasa 250 PS dan 329 Nm tork, bersama transmisi automatik lima kelajuan dan sistem pacuan Super Select 4WD. Akhirnya pada tahun 2019, Mitsubishi membuat keputusan menghentikan pengeluaran Pajero dan memperkenalkan model Final Edition.

Dari situ, Mitsubishi berharap legasi model ini dapat disambung oleh Xpander di Malaysia seiring bersama satu lagi model tujuh tempat duduk mereka, iaitu Outlander. Jika dibandingkan dengan pesaing paling dekatnya iaitu Honda BR-V, Xpander mempunyai kelebihan dengan saiz yang lebih besar.

Jika dibandingkan lagi dengan model Honda itu, Xpander juga mempunyai jarak roda 113 mm lebih panjang dan ruang bahagian dalam yang lebih luas termasuklah ruang simpanan barang di belakang. Tempat duduk belakang Xpander juga boleh dilipat rata untuk memuatkan barang yang besar dan panjang, sementara tempat duduk BR-V cuma penyandarnya sahaja yang boleh dilipat.

Mitsubishi Grandis, Delica, Space Gear, Pajero – model tujuh tempat duduk Mitsubishi sebelum Xpander

Tidak dinafikan, Malaysia memang menerima Xpander agak lambat berbanding negara jiran, tetapi model yang akan tiba nanti adalah model facelift dan kita tidak perlu risau dengan masalah kereta baru kerana ia mungkin telah diatasi setelah beberapa tahun diperkenalkan – pertama kali di Indonesia pada tahun 2017.

Enjin yang mempunyai kemungkinan paling tinggi diperkenalkan pada Xpander pasaran Malaysia adalah unit petrol empat silinder 1.5 liter NA 4A91 yang berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm tork pada 4,000 rpm, bersama padanan kotak gear automatik empat kelajuan yang menghantar kuasa kepada roda hadapan. Di Indonesia, mereka juga mempunyai pilihan kotak gear manual lima kelajuan.

Melihat kepada cara Mitsubishi Motors Malaysia menetapkan harga model jualannya sebelum ini, Xpander dijangka dijual pada harga antara RM80,900 hingga RM90,000. Adakah ini akan menjadi kenderaan tujuh tempat duduk pilihan anda?

GALERI: Mitsubishi Chariot

GALERI: Mitsubishi Delica Space Gear 4WD

GALERI: Mitsubishi Delica D:5 2019

GALERI: Mitsubishi Pajero

GALERI: Mitsubishi Xpander facelift di Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required