Peugeot baru sahaja mendedahkan 3008 facelift yang kini nampak lebih agresif dan lebih menyamai model baru 208, 2008 dan 508. Bahagian paling utama yang menjadi perhatian adalah gril tanpa rangka tepi dan ia mempunyai garis melintang yang seakan memberi kesan tiga dimensi.

Pada bahagian bucu bampar, bersambung dari lampu utama, terdapat jalur LED yang berfungsi sebagai lampu siang dan juga lampu penunjuk arah. Kemudiannya, buat pertama kali, lencana nombor model diletakkan pada bonet, atas pada gril sementara kemasan plastik lain diwarnakan hitam supaya lebih dramatik.

Lampu belakang pula kini menggunakan unit LED penuh, yang digelapkan dan lampu penunjuk arah jenis sequential. Pelanggan diberikan tiga pilihan kemasan untuk model ini dan beberapa warna baru termasuk Celebes Blue dan Vertigo Blue. Bahagian luaran juga boleh dinaik taraf dengan pakej pilihan Active Pack, Black Pack atau GT Pack (gril serta rim 19 inci tersendiri).

Pergi ke bahagian kabin, SUV kompak ini dilengkapi dengan susun atur i-Cockpit terbaru. Panel instrumen digital 12.3 inci padanya dipertingkat dengan grafik baru manakala skrin sesentuh infotainmen di bahagian tengah papan pemuka kini lebih lebar – bersaiz 10 inci.

Semua model kini mendapat pemilih mod pemanduan secara standard, yang membolehkan pemandu memilih antara mod Normal, Sport atau Eco. Model PHEV mendapat tambahan beberapa lagi mod iaitu Electric, Hybrid dan Sport. Seperti yang boleh dilihat dalam gambar di bawah, kabin model ini boleh didapati dengan balutan kulit Nappa (GT), Alcantara/PET atau Mistral Nappa.

Kemasan Dark Lime Wood berserta jalur krom, dan cermin pandang belakang tanpa bingkai adalah baru. Pemilik juga boleh memilih sistem bunyi Focal 515 watt. Model ini juga dilengkapi dengan brek parkir elektronik, tempat duduk dengan fungsi mengurut serta bumbung suria.

Untuk enjin, pengguna diberikan pilihan dua enjin petrol turbo ataupun satu enjin diesel. Untuk enjin petrol, ia unit paling kecil adalah 1.2 liter tiga silinder PureTech 130 berkuasa 130 hp/230 Nm, dan ia boleh disediakan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan – kuasa dihantar ke dua roda hadapan.

Satu lagi enjin petrol adalah unit empat silinder 1.6 liter PureTech 180 sama seperti sebelum ini, yang berkemampuan 180 hp dan 250 Nm tork. Enjin ini cuma datang dengan transmisi automatik lapan kelajuan. Bagi yang mahukan enjin diesel, mereka diberikan pilihan unit 1.5 liter BlueHDi yang berkuasa 130 hp dan 300 Nm tork, dan boleh dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan.

Model 3008 facelift ini juga datang dengan varian baru iaitu Hybrid 225. Ia boleh dianggap sebagai versi Hybrid4 300 yang dikurangkan sedikit kuasanya, dan menggunakan pacuan roda hadapan. Varian ini menggunakan gabungan enjin 1.6 liter PureTech 180 dan motor elektrik 80 kW untuk bersama menghasilkan 225 hp dan 360 Nm tork. Transmisi adalah unit automatik lapan kelajuan.

Varian Hybrid4 300 juga menggunakan enjin 1.6 liter yang sama, tetapi mendapat dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar). Kuasa keseluruhannya adalah 300 hp dan 520 Nm tork. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat sementara Hybrid 225 melakukannya dalam masa 8.7 saat.

Kedua-dua model PHEV ini menggunakan pek bateri 90 kWH yang sama, menawarkan jarak gerak elektrik 56 km untuk Hybrid 225 dan 59 km untuk Hybrid4 300. Apabila menggunakan soket domestik single phase 8A, baterinya boleh dicas dari kosong hingga penuh dalam masa tujuh jam, atau apabila menggunakan soket 14A, ia mengambil masa empat jam. Menurut Peugeot, bateri ini mendapat jaminan lapan tahun atau 160,000 km.

Pada bahagian keselamatan, SUV ini mendapat Adaptive Cruise Control, sistem kamera 360 darjah Visiopark 2, Park Assist, Lane Keeping Assist, Driver Warning Alert, Auto High Beam Assist, Speed Sign Recognition, Active Blind Spot Monitoring System, dan Advanced Grip Control (Normal, Snow, Mud, Sand). Ia juga datang dengan fungsi night vision dan AEB generasi terbaru.