Tak berapa lama sebelum ini, Santa Fe diberikan versi facelift. Begitu juga dengan model Kona, yang mana versi facelift terbarunya mula ditunjukkan semalam. Dan Hyundai belum mahu memperlahankan rentaknya; terbaru, Tucson generasi seterusnya pula mula di tunjuk serba sedikit.

Ini bakal menjadi Tucson generasi keempat, dan merupakan penawaran segmen C bagi SUV bagi menyaingi model-model lain seperti Honda CR-V, Nissan X-Trail dan Toyota RAV4. Ia akan menggantikan model Tucson sedia ada, yang mula diperkenalkan pada 2015, dan diberi facelift baru pada 2018 sebelum ini.

Lampu baru yang ditunjukkan ini dikenali sebagai Parametric Hidden Lights, sebuah evolusi terbaru bagi rekaan lampu utama khusus oleh Hyundai dan memberikan pembaharuan serta kelainan penampilan SUV berkenaan. DRL-nya bersekali pada bahagian gril dan hanya akan kelihatan jika dihidupkan.

Pendekatan pada lampu itu sebenarnya adalah sebahagian daripada penampilan Parametric Dynamics. Rekaannya pula dipanggil “Sensuous Sportiness”, dan turut digunakan pada Elantra serba baru yang baru ditunjukkan tidak lama sebelum ini.

“Matlamat pendekatan rekaan ini adalah untuk meningkatkan lagi kualiti emosi terhadap rekaan automotif. Kami ingin pelanggan merasakan mereka digerakkan. Dengan Tuscson serba baru, kami memperkenalkan evolusi dan pernyataan bahawa Hyundai sedang bergerak ke hadapan dengan yakin. Rekaan maju dan eksperimental pada Tucson berusaha untuk terus menjadikan segmen berkenaan kompetitif,” ujar Naib Presiden Kanan dan Ketua Pereka Hyundai, Sangyup Lee.

Tucson baru ini juga akan ditawarkan dalam versi jarak antara roda yang pendek dan juga panjang, bergantung kepada pasaran. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan dan permintaan pasaran yang pelbagai – Eropah mungkin inginkan yang lebih kecil, sementara pasaran AS mahukan saiz yang lebih besar, misalnya.

Bahagian dalaman nampaknya tampil lebih minimalis, terutama pada papan pemuka. Ia kelihatan seperti satu ruang yang merangkum, dengan butang kawalan daripada permukaan sentuhan dan semuanya dari jenis digital. Ini membuatkannya nampak ringkas dan bersih, tanpa ada banyak tombol-tombol yang muncul dipermukaan. Model ini akan dilancarkan pada 15 September nanti, dan mendekati tarikh itu barulah akan ada lebih banyak maklumat spesifikasinya yang akan didedahkan.