Husqvarna lebih terkenal dengan penghasilan jentera lasak motocross, tetapi sejak beberapa tahun lepas, pengeluar dari Sweden ini telah menyertai segmen motosikal street dengan penghasilan model seperti Svartpilen dan Vitpilen.

Dalam perkembangan terbaru, Husqvarna nampaknya juga akan mula mengorak langkah dalam penghasilan kenderaan elektrik dan ia telah dibentangkan kepada pemegang saham baru-baru ini. Sedikit perincian juga telah bocor di dalam internet.

Semasa pembentangan tersebut, Husqvarna telah menunjukkan beberapa basikal elektrik, tetapi apa yang lebih menarik bagi penggemar dua roda adalah motosikal yang dipanggil sebagai E-Pilen dan sebuah skuter. Kedua-duanya menggunakan pacuan elektrik.

E-Pilen menggunakan bentuk seperti Vitpilen dan Svartpilen 401, tetapi tempat yang biasanya diletakkan enjin pembakaran dalaman diganti dengan motor elektrik sebagai pemacu. Baterinya pula kelihatan seperti berada di atas (tempat tangki motosikal biasa) dan berkemungkinan boleh dicabut dan ditukar dengan mudah.

Setakat yang diketahui, E-Pilen ini direncanakan masuk ke pasaran pada tahun 2022 dengan dua versi iaitu yang berkuasa 4 kW (5.5 hp) dan 10 kW (13.3 hp). Model skuter elektrik itu pula akan menggunakan motor elektrik 4 kW (5.5 hp). Perincian lain pula masih lagi belum diketahui.