Pengeluar kereta Perancis, Peugeot telah pun memperkenalkan model 5008 facelift 2021. Ia tampil dengan rombakan rekaan yang hampir sama dengan adiknya, 3008 2021.

SUV tujuh-tempat duduk segmen-C ini menerima rekaan semula bagi wajah hadapannya, dengan menampilkan lampu utama LED (kini standard bagi semua varian) bersama gril radiator frameless. Sama seperti 3008, lampu nyalaan siang LED menegak dan indikator isyarat ditampilkan secara lebih bergaya, malah nombor model ini diposisikan di atas bonet, betul-betul di atas lambang Singa kebanggaannya.

Pada bahagian belakangnya, kelihatan lampu LED penuh baharu dengan motif rekaan tiga-cakaran versi yang lebih nipis, dilengkapi dengan indikator membelok jujukan. Peugeot turut menawarkan dua warna baharu iaitu Celebes Blue dan Metallic Copper.

Buat pertama kalinya, varian tertinggi GT akan mempunyai ‘Black Pack’, yang didatangkan dengan lencana Singa krom gelap, kemasan luaran hitam sutera, tread plate hitam berkilat, fender hadapan, palang bumbung, kemasan bampar belakang, roda Washington Black Onyx 19-inci dan kemasan Black Mist.

Varian sedia ada – Active, Allure dan GT bakal menerima versi Premium yang ditambahbaik, menjadikannya keseluruhannya sebanyak enam varian. Ia dilengkapi dengan ciri yang lebih baik, seperti sistem bantuan pemandu dan kemudahan lain termasuk kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.

Untuk kabinnya, ia ditampilkan dengan rekaan terkini i-Cockpit yang dilengkapo paparan instrumen digital 12.3-inci, roda stereng diameter-kecil untuk pemanduan dinamik yang lebih baik dan paparan skrin sesentuh berdefinisi tinggi 10-inci baharu dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kemasan baharu juga diperkenalkan. Di mana model GT menerima kulit Nappa merah atau upholstery kulit hitam dengan Alcantara. Manakala varian Allure menerima tempat duduk kulit Mistral Nappa dengan jahitan Tramontane. Ciri standard untuk semua varian termasuklah cermin pandang belakang tanpa bingkai dan dua soket tambahan USB untuk barisan kedua tempat duduk. Manakala sistem bunyi Focul High-End HiFi 515-watt ditawarkan secara pilihan.

Ruang but tidak berubah, masih menawarkan 780 liter dengan kedudukan tempat duduk dalam keadaan normal dan boleh dipertingkatkan sehingga 1,940 liter jika ia dibaringkan, Manakala tempat duduk kedua boleh dilaras sepenuhnya dengan penyandarnya dibaringkan, dan boleh juga dilipat sepenuhnya untuk memberikan lebih ruang pada bahagian kargo. Malahan tempat duduk penumpang hadapan juga boleh ditolak ke hadapan, bagi memberikan barangan sehingga 3.2 meter dimuatkan dari belakang.

Bagi enjinnya pula, kini 5008 diberikan empat pilihan enjin, bermula dengan unit 1.2 liter PureTech 130, 1.6 liter PureTech 180, 1.5 liter BlueHDi 130, dan 2.0 liter BlueHDi 180. Bergantung pada varian, pilihan transmisi termasuk manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan, yang kedua-duanya menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

Manakala untuk elemen keselamatan pula, 5008 kini didatangkan dengan Night Vision, di mana menurut Peugeot ini merupakan ciri unik di dalam segmennya. Ia menggunakan teknologi infra merah bagi mengesan pejalan kaki dan haiwan sehingga jarak 200 meter daripada bahagian hadapan kenderaan.

Ia juga menampilkan kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop-and-go untuk model yang dilengkapi kotak gear automatik lapan-kelajuan, sementara yang lainnya menerima Bantuan Posisi Lorong. Kedua-dua sistem ini adalah sebahagian daripada pakej Drive Assist Plus.

Brek kecemasan sendiri juga turut diberikan (beroperasi dari 5 km/j hingga 140 km/j), serta Bantuan Parkir, Amaran Ketibaan Lorong, Bantuan Lampu Tinggi Pintar, Kawalan Cengkaman Termaju, Alter Warning Driver dan Visiopark 1 (kamera 180-darjah) atau Visiopark 2 (kamera 360-darjah).