Mercedes-Benz GLB X247 dilancarkan di Malaysia pada 22 Sept – dijangkakan varian GLB35 4Matic

Mercedes-Benz GLB X247 dilancarkan di Malaysia pada 22 Sept – dijangkakan varian GLB35 4Matic

Selepas memperkenalkan model GLE Coupe C167 dan GLS X167, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bakal melancarkan model GLB X247 pula. Menerusi entri di Facebook rasminya, model tersebut diumumkan bakal dilancarkan pada 22 September ini menerusi tayangan perdana digital bermula jam 12 tengahari.

GLB pertama kalinya didedahkan pada Jun tahun lalu dan dibangunkan dengan senibina MFA2 seperti model semasa A-Class, B-Class, CLA dan GLA. Diposisikan di antara GLA dan GLC, GLB menawarkan konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk. Kalau dilihat pada dimensinya, ia memang menampakkannya sebagai model “kompak”.

Ia mempunyai dimensi 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm bagi versi tujuh-tempat duduk) tinggi, sementara jarak antara roda pula ialah 2,829 mm panjang – ia 100 mm lebih panjang berbanding B-Class terbaharu. Sebagai perbandingan, GLC pula berukuran 4,656 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,639 mm tinggi dan jarak rodanya 2,873 mm. Sementara GLA pula 4,410 mm panjang, 1,834 mm lebar, 1,161 mm tinggi dan jarak rodanya 2,729 mm.

Walau bagaimana pun perincian penuh bagi model pasaran Malaysia hanya akan didedahkan pada hari pelancarannya. Namun, kami menjangkakan varian AMG GLB 35 4Matic yang akan ditawarkan, seperti mana spyshot yang pernah dirakamkan di Lebuhraya NKVE baru-baru ini.

AMG GLB 35 4Matic yang merupakan versi paling berkuasa menggunakan enjin 2.0 liter pengecas empat-silinder petrol dengan janaan 306 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Sistem pacuan AMG Performance 4Matic AWD juga dihadirkan sekali. Tetapi, tidak seperti model AMG 35 yang lain, GLB 35 ini menggunakan transmisi AMG Speedshift DCT lapan-kelajuan dan bukannya versi tujuh-kelajuan.

Dari sudut prestasi, AMG GLB 35 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, sebelum tiba kepada kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 250 km/j. Purata penggunaan minyak ialah sekitar 7.5 liter bagi 100 km mengikut peraturan NEDC.

Selain itu, bagi varian bukan-AMG, model GLB 200 pula digandingkan dengan enjin 1.33 liter M282 pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan sehingga 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dari Getrag. Ia membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 9.1 saat serta kelajuan maksimum 207 km/j. Penggunaan petrol didakwa sekitar 6.0 ke 6.1 liter bagi 100 km.

Varian pertengahan pula ialah GLB 250 yang menggunakan enjin 2.0 liter M260 dengan janaan 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Dengan transmisi baru Mercedes 8G-DCT lapan-kelajuan, ia boleh mencecah 100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 236 km/j. Penggunaan minyak pula pada kadar 7.2 hingga 7.4 liter bagi setiap 100 km.

Dari sudut rekaan, SUV ini tampil dalam rekaan bersegi, dengan garis bahu di tepi menjadikannya tampak lebar dan tegap. Lampu pula menggunakan jenis LED di belakang. Sebagai pilihan, ia turut ditawarkan dengan pilihan lampu utama Multibeam LED, serta lampu kabus LED.

Di dalam pula, rekaannya juga lebih sibuk dan menonjol – banyak juga kemasan plastik yang kelihatan seperti aluminium digunakan. Sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) juga melengkapi model ini. Untuk tempat duduk baris ketiga, ia boleh direbahkan dengan menggunakan satu sentuhan sahaja untuk memudahkan penumpang masuk ke ruang berkenaan. Selain ruang cawan, setiap penumpang mempunyai slot USB sendiri.

GALERI: Mercedes-AMG GLB 35 4Matic X247 di Frankfurt

GALERI: Mercedes-Benz GLB 200 X247 di Frankfurt

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required