Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

Ferrari telah pun memperkenalkan Portofino M, sebagai menggantikan model terdahulu Portofino yang sudah mencapai usia tiga tahun. Facelift F164 ini diperkenalkan menerusi pelancaran secara digital dengan beberapa bahagian luaran yang dipertingkatkan dan terdapat juga perubahan pada mekanikal, termasuk peningkatan kuasanya dan juga transmisi baharu.

Untuk perubahan mekanikal, ia dimulakan dengan padanan bampar hadapan baharu, yang menampilkan corong sisi yang direka semula dan juga pertambahan corong pengambilan udara baharu pada gerbang roda untuk meningkatkan penjimatan aero dinamik. Corong tersebut juga memberikan bonus untuk imejnya, malah memberikan aliran udara yang lebih baik untuk bahagian sisi. Manakala padanan gril yang dipertingkatkan itu juga telah dihadirkan dengan kepingan aluminium baharu.

Bahagian belakang juga menerima padanan bampar baharu, yang telah diprofilkan semula dengan konfigurasi sistem ekzos baharu. Selain itu, diffuser belakang juga kini diasingkan daripada bampar, untuk memberikan imej yang lebih menyerlah pada bahagian belakang. 2+2 GT juga menerima kemasan berlian spesifik baharu, dan rekaan roda lima-jejari. Walau bagaimana pun, tiada perubahan pada bumbung retractable hard top, yang masih boleh dibuka dan ditutup dalam 14 saat.

Menurut VW, huruf M membawa maksud ‘Modificata’, iaitu terma yang “digunakan untuk kereta yang mengalami evolusi yang dipertingkatkan prestasi yang ketara”. Di mana peningkatan prestasi ini disumbangkan oleh kombinasi penjana kuasa dan drivetrain yang agak berbeza dengan apa yang diberikan pada Roma.

Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

Enjin 3.9 liter F154 BB twin-turbo V8 pada Portofino telah diberikan modifikasi, membawanya ke spesifikasi BE. Kuasanya dipertingkatkan menjadi 620 PS (611 hp), di mana ia lebih 20 PS (atau 19 hp) berbanding sebeluum ini, mirip pada Roma. Manakala tujahan tork masih kekal pada 760 Nm.

Penambahan kuasa dalah hasil cam profile baharu untuk meningkatkan anjakan injap dan mengoptimakan pengisian ruang pembakaran dan juga penderia kelajuan ke unit pengecas turbo, di mana ia membolehkan anjakan rpm ke turbin secara maksimum ditambah.

Peningkatan penjana kuasa ini turut dipadankan dengan kotak gear baharu – yang sebelum ini dengan padanan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan yang kini digantikan dengan unit dwi-klac lapan-kelajuan. Unit ini pertama kali diberikan pada model Roma, berasal dari unit SF90 Stradale lapan-kelajuan, tetapi mempunyai mekanikal gear undur dan nisbah gear yang lebih panjang.

Selain itu, suis manettino telah menerima mod kelima, iaitu tatapan Race, dan sistem brek juga dipertingkatkan, dengan tekanan pedal brek yang dapat diubah dan 10% pengurangan pada brek bagi menghasilkan tindak balas yang lebih cepat dan tepat terhadap input brek.

Manakala untuk sistem ekzos baharu, perubahan termasuklah geometri baharu untuk keseluruhan jajaran ekzos, di mana ia telah ‘membuang’ dua peredam belakang pada Portofino. Dengan ketiadaan komponen terbabit, ia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan belakang pada paip ekzos, bahkan menambahbaik bunyi pada sistem tersebut. Sebagai tambahan, injap pintasan baharu diberikan bagi meningkatkan lagi aliran bunyi ekzos.

Bentangan bahagian dalaman Portofino tidak disentuh dengan penukaran Modificata. Kluster instrumen dengan dua paparan TFT masih berada di tempat yang sama seperti sebelum ini. Begitu juga dengan sistem infotainmen dan skrin sesentuh sentral 10.25-inci serta sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

Ferrari Portofino M didedah – DCT 8-kelajuan, 620 PS

Manakala ciri baharu yang diberikan termasuklah pengudaraan dan tempat duduk dengan fungsi haba, dan elemen tambahan terkini yang paling besar melibatkan komponen bantuan pemanduan dan keselamatan bagi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), yang ditawarkan secara pilihan.

Ia menambahkan ciri yang sebelum ini tidak ada seperti kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop&Go, sistem brek kecemasan ramalan (juga dikenali sebagai amaran pelanggaran hadapan dan AEB), pemantauan titik buta, amaran ketibaan lorong, kepekaan lintasan trafik belakang, pengesan isyarat trafik, lampu tinggi automatik dan kamera pandangan sekeliling 3D.

Untuk jadual penghantarannya, Ferrari berkata unit pemanduan sebelah-kiri yang pertama bagi Portofino M ini akan bermula pada suku kedua tahun 2021, dan ia akan disusuli dengan pemanduan sebelah-kanan pula.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required