Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

Selepas beberapa teaser, akhirnya Volkswagen Taos didedahkan sepenuhnya untuk Amerika Syarikat dan pelancaran rasmi dijangka berlaku pada tahun hadapan. Ada tiga varian yang ditawarkan iaitu S, SE dan L, sementara pengeluarannya pula dibuat di Puebla, Mexico.

Dalam barisan produk SUV Volkswagen di Amerika, Taos diletakkan di bawah Tiguan dan akan bersaing di dalam segmen SUV kompak. Menurut syarikat itu, empat juta unit SUV kompak dijual pada tahun 2019 – sekitar 24% daripada keseluruhan pasaran – sekaligus menjadikan ia sebagai segmen paling hangat di Amerika Utara.

Untuk dimensi, Taos mempunyai ukuran 4,465 mm panjang, menjadikan ia 236 mm lebih pendek berbanding Tiguan yang mencatat 4,701 mm dari hujung bampar hadapan hingga hujung bampar belakang. Lebar adalah 1,841 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak roda 2,690 mm.

Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

Melihat kepada rupa, Taos kelihatan seperti Tiguan yang dikecilkan, tetapi masih ada beberapa bahagian yang dijadikan unik untuk membezakan keduanya. Pada bahagian hadapan, lampu LED yang digunakan mempunyai pencahayaan hampir seperti Atlas Cross Sport dan di tengah gril juga terdapat jalur lampu yang menyala.

Bukaan udara di bahagian bucu bampar pula menjadikan muka SUV ini lebih tegap sementara di bahagian bawah pula terdapat kemasan yang berwarna perak. Atas padanya terdapat kemasan honeycomb yang kebanyakannya tertutup.

Garis badan dan lekuk yang boleh dilihat pada bahagian tepi juga sama seperti Tiguan tetapi anda boleh melihat perbezaannya pada lengkuk roda yang lebih berpetak. Bahagian belakang Taos pula kelihatan lebih membulat berbanding Tiguan, termasuklah lampunya yang kurang tajam. Muncung ekzos krom pula diletakkan lebih tinggi.

Volkswagen Taos diperkenalkan – SUV yang lebih kecil daripada Tiguan, enjin 1.5 liter turbo 158 hp, 249 Nm

Pada bahagian dalam, Volkswagen memberitahu model baru ini menyediakan ruang 2,817 liter, iaitu cuma kurang 45 liter berbanding Tiguan. Ruang simpanan di bahagian belakang adalah 796 liter, dan apabila tempat duduk baris kedua dilipat, ia menjadi 1,877 liter. Ruang kaki tempat duduk hadapan 1,018 mm manakala di belakang pula 963 mm.

Rekaan bahagian kokpit adalah ringkas, dengan terdapat jalur yang memisahkan skrin sesentuh di tengah dengan butang kawalan pendingin hawa, dan bersambung hingga ke tepi pintu. Skrin ini mempunyai saiz lapan inci dan menggunakan sistem MIB3. Bagi varian yang lebih tinggi, ia akan diberikan dengan sistem bunyi BeatsAudio lapan pembesar suara serta lampu suasana.

Kelengkapan lain pada Taos adalah termasuk sistem mula enjin tanpa kunci, pilihan akses Kessy, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan arah, pengawal pendingin hawa dua zon Climatronic, pengelap cermin automatik, roda stereng dengan pemanas, tempat duduk berliang serta cermin sisi dengan pemanas. Dalam keadaan standard tempat duduk datang dengan balutan fabrik dua tona, tetapi balutan kulit masih disediakan sebagai pilihan tambahan.

Pakej bantuan pemandu IQ.Drive disediakan sebagai pilihan tambahan, di mana ia memberi fungsi seperti Forward Collision Warning dengan brek autonomous (Front Assist), Blind Spot Monitor, Lane Keeping System (Lane Assist), Adaptive Cruise Control dengan ciri henti dan gerak, Travel Assist, Emergency Assist, High beam Control (Light Assist), Adaptive Front-Lighting serta Park Distance Control.

Kuasa penggerak datang daripada enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, sama seperti yang digunakan pada Jetta dengan kuasa 158 hp dan 249 Nm tork. Untuk versi pacuan dua roda hadapan, ia menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan sementara versi pacuan semua roda menggunakan transmisi DSG tujuh kelajuan dengan sistem pacuan 4Motion.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required