Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

Walaupun Mitsubishi Ralliart Europe sudah lama menghentikan operasi mereka termasuk menarik diri dari Kejohanan Rali Dunia (WRC), namun ada lagi pasukan-pasukan Ralliart nasional lain di seluruh dunia masih aktif menghasilkan jentera-jentera rali berdasarkan model-model jalan raya Mitsubishi.

Antara yang masih aktif adalah Ralliart New Zealand, iaitu badan yang bertanggung jawab membangunkan jentera rali dari Mitsubishi Mirage generasi ke-enam dan juga MPV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Xpander, berdasarkan undang-undang khas yang digunakan untuk Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) iaitu AP4.

Dan selepas Mitsubishi memperkenalkan Mirage facelift 2020, Ralliart New Zealand turut menghasilkan jentera rali Mirage AP4 baharu berdasarkan model berkenaan dan ia baharu sahaja siap dan sedang bersedia untuk bertanding di SS rali bermula tahun hadapan dalam kejuaraan rali di New Zealand serta APRC. Antara pasukan yang bertanding dengan kereta ini sudah tentulah pelanggan Ralliart New Zealand sejak sekian lama iaitu Brian Green Motorsport.

Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

Jentera baharu ini nampak lain dari versi sebelumnya kerana muka Mirage berkenaan yang sudahpun menerima rekaan Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi. Ralliart New Zealand juga turut memberikan kit aero dengan overfender yang lebih berpetak sama dengan jentera-jentera R5 dan WRC terkini, lengkap dengan spoiler belakang bersaiz gergasi yang mengikut dimensi yang telah ditetapkan undang-undang AP4.

Bahagian kabin Mirage AP4 ini juga telah ‘ditogelkan’ dan diberikan rollcage, tempat duduk perlumbaan, pedal box, tuil brek tangan, suis-suis dan panel instrumen perlumbaan, kelengkapan-kelengkapan keselamatan dan lain-lain, yang kesemuanya memenuhi regulasi AP4.

Bagi yang masih belum mengetahui, jentera-jentera dengan spesifikasi AP4 ini dihasilkan bagi menyamai prestasi jentera-jentera R5, dijana oleh enjin 1.6 liter turbo dengan restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm (R5 hanya 32 mm), bagi menghasilkan kuasa sekitar 350 hp serta tork maksima melebihi 500 Nm.

Mitsubishi Mirage AP4 2020 binaan oleh Ralliart New Zealand – bersedia untuk cabaran APRC musim depan

Sama seperti Xpander AP4 dan juga Proton Iriz R5, Mirage AP4 ini menerima enjin 4B11T yang boleh dijumpai pada Mitsubishi Lancer Evo X, tetapi dengan kapasiti yang diturunkan dari 2.0L kepada hanya 1.6L.

Undang-undang AP4 menetapkan bahawa semua jentera perlulah menggunakan pilihan kotak gear sequential enam-kelajuan, serta sistem pacuan semua roda dengan tiga unit LSD mekanikal pada bahagian tengah serta gandar hadapan dan belakang yang sama untuk semua jentera yang bertanding.

Malah jentera yang dihasilkan perlu menggunakan cagak suspensi sebelah atas dan juga crossmember hadapan dan belakang yang sama, bagi membolehkan kesemua jentera AP4 menggunakan suspensi yang sama. Ini secara tidak langsung bukan sahaja memberikan kondisi perlumbaan yang adil untuk semua pihak, malah kos penghasilan suspensi juga dapat dikurangkan serta jauh lebih murah dari jentera R5.

FIA juga tidak mensyaratkan proses homologasi yang ketat seperti jentera R5 pada jentera-jentera AP4, bagi membolehkan ia dibangunkan oleh mana-mana bengkel – ini satu lagi cara yang membuatkan kos untuk menghasilkan jentera AP4 ini jauh lebih rendah dari jentera R5.

Walau bagaimanapun, jentera-jentera AP4 ini hanya boleh bertanding pada peringkat Asia Pasifik (AP4 itu sendiri bermaksud Asia Pasifik 4WD), dan ia tidak boleh bertanding di Eropah mahupun di peringkat WRC untuk kategori WRC2.

Menurut Ralliart New Zealand, pembangunan jentera Mirage AP4 baharu ini bukan sekadar merubah rupanya sahaja. Mereka turut melakukan rombakan semula terhadap sistem elektronik dan juga membuat kejuruteraan semula terhadap rekaan pada sistem suspensi.

GALERI: Mitsubishi Mirage facelift 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required