Mitsubishi Eclipse Cross facelift – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

Mitsubishi Eclipse Cross facelift akan mula dijual pada pasaran Australia dan New Zealand bermula 1 Disember ini, sebelum masuk ke pasaran Jepun dan Amerika Syarikat selepas itu. Oleh itu, perincian dan juga foto lebih banyak kini telah pun disiarkan untuk pasaran pertama yang akan menerima crossover segmen-B ini berbanding pendedahan sulungnya bulan lalu.

Selepas dijual selama tiga tahun, Eclipse Cross menerima perubahan yang agak menyeluruh pada bahagian luaran, serta diberikan pelbagai tingkat taraf kelengkapan dan juga pilihan unit penjana plug-in hybrid (PHEV) selain dari enjin petrol yang dibawa dari model sebelum ini.

Walaupun masih menerapkan rekaan Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen ‘X’ diberikan pada muka, model facelift ini sebenarnya telah diberikan perubahan wajah yang signifikant. Lampu hadapan utama telah dialihkan pada bampar, manakala lampu tirus yang tajam pada bahagian atas yang selari dengan gril berkenaan sebenarnya adalah lampu nyalaan siang LED – sama seperti konsep rekaan pada Mitsubishi Xpander.

Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

Gril yang diberikan juga dihasilkan berdasarkan model-model konsep terbaharu Mitsubishi seperti Engelberg Tourer dan e-Evolution. Kemasan skid plate pada bawah bampar juga diperkemaskan dengan rekaan tiga bahagian yang nampak lebih lasak dan menonjol.

Perubahan lebih besar dapat dilihat pada bahagian belakang. Tiada lagi lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate SUV ini, dan ia digantikan dengan lampu berbentuk-L (juga seakan Xpander) tanpa cermin belakang yang terbahagi. Bahagian bawah bampar juga menerima kemasan skid plate yang direka semula sama seperti di hadapan, tanpa kemasan berwarna perak.

Satu lagi yang perlu anda tahu, rekaan semula pada bahagian luaran ini bukan bersifat kosmetik semata-mata. Juntaian hadapan dan belakangnya kini lebih panjang menjadikan panjang keseluruhannya kini turut bertambah. Malah rombakan yang dibuat pada sebelah belakang membolehkan kapasiti kargonya naik 18% menjadi 405 liter – untuk memudahkan anda membayangkan saiz but ini, Proton X50 hanya mempunyai kapasiti 330 liter.

Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

Dalam kabin, rekaan keseluruhan papan pemuka masih lagi nampak sama, dan ia masih hadir dengan paparan head-up berwarna. Namun skrin infotainmen tujuh-inci sebelum ini digantikan dengan skrin berdiri sendiri lebih besar bersaiz lapan-inci, dan turut menampilkan dua butang fizikal.

Bukan saiz sahaja semakin besar, skrin tersebut kini menampilkan antaramuka baharu bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta dilengkapkan dengan sistem navigasi TomTom yang menggunakan sistem kod geo what3words bagi memudahkan pengguna menaip dan mencari destinasi yang dimahukan.

Model facelift ini tidak lagi diberikan sistem audio dari Rockford Fosgate, tetapi telah digantikan dengan sistem 510 watt dengan lapan pembesar suara. Pad sesentuh pada model sebelumnya tidak lagi diberikan pada Eclipse Cross facelift ini, yang bukan sahaja memberikan rupa yang lebih ringkas, malah kawalan juga menjadi lebih mudah dengan sentuhan terus pada skrin sesentuh berkenaan.

Mitsubishi Eclipse Cross <em>facelift</em> – versi pasaran Australia diperincikan, ruang kargo lebih besar

Untuk keselamatan, Mitsubishi Eclipse Cross hadir dengan sistem bantuan pemanduan yang terdiri dari brek kecemasan automatik, cruise control adpatif, amaran keluar laluan, pemantau titik buta dan juga lampu tinggi automatik. Ia turut menerima penarafan lima-bintang dalam ujian keselamatan pelanggaran ANCAP.

Bagi versi petrol sepenuhnya, Eclipse Cross masih dijana oleh enjin 1.5 liter turbo empat-silinder berkuasa 153 hp dan tork maksima 249 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik dengan pacuan semua roda menerusi sistem Super All Wheel Control (S-AWC) Mitsubishi.

Walau bagaimanapun, Mitsubishi masih belum menyiarkan spesifikasi teknikal untuk model Eclipse Cross PHEV. Namun laporan sebelum ini menyebut bahawa ia dijana oleh sistem yang sama seperti Outlander PHEV.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required