UMW Toyota Motor (UMWT) telah pun menayangkan teaser bagi model Toyota Vios facelift 2020 menerusi laman Facebook, selepas dua minggu mempromosikan teaser bagi Yaris facelift. Kami menjangkakan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Seperti Yaris yang dipertingkatkan, Vios bakal menerima wajah hadapan yang direka semula sepenuhnya, menampilkan gril yang lebih menyerlah dengan kepingan melintang, lampu utama reflektor LED tiga-bezel yang lebih nipis dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L (ini merupakan ciri standard bagi barisan Yaris, jadi Vios mungkin bakal menerima peningkatan yang sama), lampu kabus bulat dengan dalaman menegak berwarna hitam serta lip hadapan dengan dua tona.
Walau bagaimana pun, tiada perincian lain didedahkan. Namun berdasarkan apa yang kami tahu dengan Yaris baharu, Vios facelift ini mungkin turut akan menerima skrin sesentuh tujuh-inci (dipertingkatkan berbanding paparan 6.8-inci sebelum ini), dilengkapi fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Lain-lain ciri yang akan diberikan termasuklah kawalan suhu automatik zon-tunggal, panel meter Optitron dengan paparan pelbagai-fungsi berwarna, cermin pandang belakang elektrokromik (baharu) serta alas pengecasan tanpa wayar yang ditempatkan di kotak konsol tengah.
Secara mekanikalnya, Vios akan terus dijanakan oleh enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder NA yang boleh menghamburkan hingga 107 PS dan tork 140 Nm (sama seperti Yaris), dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT dengan mod Shiftmatic tujuh-kelajuan. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 170 km/j, manakala penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan sekitar 5.8 liter per 100 km.
Dijangkakan ia juga bakal dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, bagi model tertinggi, yang merangkumi sistem pra-pelanggaran (PCS, atau turut dikenali sebagai AEB, yang berfungsi dari 15 km/j ke atas), kepekaan ketibaan lorong (LDA), paparan pandangan panoramik 360-darjah 3D, VSC, kawalan bantuan mula mendaki, paparan titik buta dengan kepekaan trafik lintasan belakang serta perakam dashcam hadapan dan belakang.
Jumlah beg udara juga dijangka sama seperti sebelum ini iaitu tujuh unit (dua di hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bakal ditawarkan untuk semua varian. Harga bagi unit pemasangan tempatan (CKD) masih belum diumumkan, tetapi jika mengikut Yaris, dijangka angkanya ada sedikit peningkatan berbanding sebelum ini.
Maklumat lebih terperinci bagi Vios baharu ini akan dipaparkan sekiranya ada perkembangan lanjut. Jadi, nantikannya bersama kami.
GALERI: Toyota Yaris facelift 2020
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.