Kereta jenama Mazda lebih tahan dari Toyota – hasil tinjauan dari Consumer Reports Amerika Syarikat

Kereta jenama Mazda lebih tahan dari Toyota – hasil tinjauan dari Consumer Reports Amerika Syarikat

Firma penyelidikan dari Amerika Syarikat, Consumer Reports (CR) telah mengumumkan keputusan bagi tinjauan Auto Reliability Survey untuk tahun 2020, yang menyaksikan Mazda menjadi jenama yang paling boleh diharap, mengatasi jenama automotif lain pada pasaran negara berkenaan.

CR menyatakan bahawa tinjauan ini dibuat berdasarkan data yang dikumpulkan oleh ahli-ahlinya menerusi pengalaman mereka terhadap lebih dari 300,000 kenderaan. Pemilik-pemilik kenderaan berkenaan melaporkan segala masalah yang dihadapi dari kotak gear yang perlu ditukar seawal meter perbatuan baru mencecah 5,000 batu, sehingga masalah seperti skrin paparan yang perlu ditukar dan juga cat yang terjejas hanya kerana rambut manusia.

Laporan tinjauan berkenaan mendedahkan buat pertama kali Mazda menduduki tangga teratas dalam carta jenama kenderaan yang paling boleh diharap ini, setelah sekian lama ia didominasi oleh Toyota dan Lexus.

Menurut CR, apa yang Mazda lakukan untuk mencapai kedudukan ini adalah mereka telah menghasilkan model-model yang direka semula secara konservatif dengan mengelakkan pengenalan unit penjana dan sistem infotainmen baharu yang berisiko untuk rosak. Keseluruhan barisan model Mazda sekarang dihasilkan dari banyak platform dan komponen yang dikongsi, dengan hanya sedikit perubahan dibuat ketika direka semula.

Toyota dan Lexus kini masing-masing jatuh ke kedudukan kedua dan ketiga dalam senarai ini. CR menyatakan bahawa kesemua model Toyota sekarang mempunyai tahap reliabiliti pada kadar biasa dan lebih baik. Salah satu contoh adalah model SUV mereka yang popular di Amerika iaitu RAV4 – model ini berada pada kadar biasa, dengan berberapa masalah dilaporkan termasuk masalah kecil berkenaan sistem transmisi.

Manakala untuk Lexus, kedudukan mereka jatuh pada kali ini adalah disebabkan model sedan premium Lexus LS yang mencatatkan kadar boleh harap lebih rendah dari biasa. Manakala untuk model-model lain Lexus, ia masih mencatatkan kadar boleh harap pada tahap tertinggi.

Satu lagi keputusan yang agak mengejut dicatatkan oleh jenama automotif Amerika sendiri iaitu Buick – ia kini berada ditangga keempat, naik 14 tangga berbanding tahun lalu. Manakala satu lagi jenama Jepun iaitu Honda turut dilihat lebih baik dengan menghuni tangga kelima, naik tujuh tangga berbanding sebelum ini.

Untuk Honda, antara model yang bermasalah adalah SUV Honda Passport, yang mencatatkan kadar boleh harap di bawah paras biasa kerana pelbagai masalah mekanikal dan juga sistem infotainmen yang tidak berfungsi. MPV Honda Odyssey turut berada pada tahap sama kerana dilaporkan terjadi masalah sistem infotainmen dan pintu gelangsar belakang.

Hyundai menjadi jenama Korea dengan kedudukan paling tinggi dalam senarai ini dengan berada di tangga keenam, manakala Kia pula jatuh enam tangga berbanding tahun lalu dan kini berada di tempat ke-15. Satu lagi jenama Jepun yang berada dalam senarai 10 terbaik adalah Subaru, yang berada di tempat ke lapan.

Secara keseluruhan, sebanyak 26 jenama disenaraikan dalam tinjauan ini dengan jenama kereta elektrik sepenuhnya dari Amerika Syarikat berada pada kedudukan kedua paling corot. Tesla Model Y dilaporkan dengan pelbagai masalah kualiti pemasangan seperti panel badan yang tidak sekata, warna yang tidak sepadan, malah ada pengguna yang melaporkan bahawa cat kereta mereka mempunyai habuk, serpihan dan juga rambut manusia yang melekat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required