Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

Nissan telah mendedahkan SUV ladder frame baharu pada pasaran Timur Tengah yang dikenali sebagai Nissan X-Terra. Walau bagimanapun, SUV berkenaan sebenarnya model kemaskini untuk SUV yang diasaskan dari trap pikap Nissan Navara, yang telah pun berada dalam pasaran ASEAN, dikenali sebagai Nissan Terra.

Jadi boleh dijangka, kemaskini rekaan dan juga kelengkapan yang tampil pada X-Terra ini mungkin akan dibawa ke Terra sebagai versi facelift baharu. Pada bahagian luaran, X-Terra menerima muka baharu menampilkan elemen yang diambil dari Navara facelift dan juga model SUV off-road lebih besar iaitu Nissan Patrol.

Ia diberikan gril hadapan V-Motion yang lebih besar, lampu hadapan LED dengan kluster berbentuk-C bersama empat projektor yang nampak seperti kiub ais di dalamnya, gril bampar yang nampak terbalik dari versi sebelum ini, kemasan perumah lampu kabus yang kini direka menegak, serta liang udara palsu yang diberikan pada fender hadapan.

X-Terra juga diberikan perubahan yang menyeluruh di belakang, menampilkan lampu yang direka semula, manakala bar krom yang merentangi pintu tailgate diganti dengan kemasan berbentuk busur panah yang diletakkan lebih tinggi ke atas. Bampar belakang juga diubah menampilkan reflektor cahaya yang lebih panjang, diletakkan pada posisi lebih bawah, bersama kemasan skid plate yang nampak lebih ringkas.

Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

SUV ini ditawarkan dalam tujuh warna badan berbeza termasuk warna Coulis Red yang dipaparkan ini, bersama pilihan rim aloi dalam saiz 17- dan 18-inci.

Bahagian dalaman X-Terra ini juga menampilkan perubahan yang cukup drastik. Ia kini menerima papan pemuka baharu dengan rekaan yang mengambil elemen-elemen model baharu Nissan lain seperti Leaf, Micra dan Almera, menampilkan rekaan yang nampak lebih melintang bersama suis-suis larasan yang nampak lebih moden.

SUV ini juga menerima sistem infotainmen NissanConnect, menampilkan skrin sesentuh lebih besar bersaiz sembilan-inci, yang turut menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Namun pada kluster meter, ia masih diberikan paparan pelbagai info tujuh-inci yang nampak seiras dengan Navara.

Model ini juga diberikan cermin pandang belakang digital yang menggunakan kamera, bagi memberikan pandangan belakang sepenuhnya walaupun ia dihalang oleh objek besar yang diletakkan pada kabin belakang.

Nissan X-Terra 2021 didedahkan – model kemaskini Terra; SUV yang diasaskan dari trak pikap Navara

Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, port USB-C, sistem pendingin hawa untuk setiap baris tempat duduk termasuk sistem dua zon di hadapan, dan juga pilihan sistem bunyi dari Bose.

Konfigurasi tempat duduk X-Terra ini masih sama dengan Terra, menampilkan tiga baris tempat duduk dengan kerusi Zero Gravity pada baris pertama dan kedua. Ia juga diberikan ciri opsyen monitor 11-inci hubungan HDMI yang boleh dilipat, dan cermin akustik untuk bahagian hadapan serta tingkap sisi.

Tidak seperti Terra pada pasaran lain, X-Terra di Timur Tengah ini tidak ditawarkan dengan enjin turbodiesel, tetapi dijana oleh enjin petrol tanpa turbo QR25DE 2.5 liter empat silinder. Ia menghasilkan kuasa 165 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 241 Nm pada takat 4,000 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan, dan pelanggan boleh memilihnya dalam versi pacuan roda belakang atau pacuan semua roda. Nissan mendakwa padanan ini memberikan pengunaan bahan api 11.4 km untuk setiap liter.

Boleh dijangka, pasaran lain masih termasuk ASEAN akan terus dijana oleh enjin diesl baharu YS23DDT 2.3 liter yang menampilkan dua pengecas turbo, menghasilkan 190 PS dan tork maksima 450 Nm – enjin ini sudah pun dipadankan pada Terra pasaran Thailand.

Nissan X-Terra ini turut ditawarkan dengan sistem keselamatan Intelligent Mobility, terdiri dari brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang, dan juga sistem kamera 360 darjah bersama Pengesan Objek Bergerak (MOD).

Model yang dikemaskini ini dijual pada pasaran Timur Tengah bermula bulan hadapan, dengan harga bermula US$27,200 (RM111,100) tidak termasuk cukai jualan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required