Nissan Terra tiba di Thailand, enjin diesel 2.3L biturbo

Nissan Terra tiba di Thailand, enjin diesel 2.3L biturbo

Selepas membuat penampilan di pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) baru-baru ini, Nissan Terra kini dilancarkan pula di Thailand, seterusnya menjadikan negara itu sebagai pasaran ketiga yang menerima SUV ladder-frame tersebut selepas Indonesia dan Filipina.

Terra sudah boleh ditempah bermula hari ini di negara tersebut dan ia adalah sebuah SUV yang mempunyai tujuh tempat duduk dan menggunakan asas daripada pikap trak Navara NP300 ini. Perkara ini boleh dilihat jelas daripada rupa luar serta bahagian dalam yang sama antara keduanya. Ketibaannya di Thailand boleh dikatakan lambat sedikit berbanding pesaing seperti Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Ford Everest dan Isuzu MU-X.

Bezanya untuk pasaran Thailand ini, Terra yang dilancar menggunakan enjin diesel 2.3 liter twin turbo berkuasa 190 PS/ 450 Nm tork, dan bukannya enjin petrol NA 2.5 liter QR25 seperti pasaran China atau enjin diesel turbo 2.5 liter YD25 untuk pasaran Indonesia dan Filipina. Transmisi pula masih sama iaitu automatik tujuh kelajuan daripada Navara.

Terra di Thailand ditawarkan dalam varian V 2WD, VL 2WD dan VL 4WD. Kelengkapan standard yang diberikan adalah termasuk lampu utama dan lampu siang LED, lampu kabus, rim aloi dua tona 18 inci, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal pendingin hawa automatik dua zon dengan corong di belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa dan tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat dengan satu sentuhan sahaja.

Selain daripada itu, kenderaan ini juga dilengkapi dengan limited-slip differential, cermin hadapan akustik, tempat duduk balutan kulit, skrin paparan lima inci, sistem navigasi Kenwood 2-DIN dengan skrin sesentuh tujuh inci, enam pembesar suara, kamera undur dan cermin pandang belakang digital.

Untuk sistem keselamatan, semua varian mendapat enam beg udara, ABS, EBD, BA, Stability Control, Hill-Start Assist dan cagak ISOFIX di tempat duduk baris kedua. Varian VL kemudiannya ditambah dengan kamera 360 darjah dengan pengesan objek bergerak MOD, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitoring. Harganya pula adalah 1,316,000 baht (RM162,500) untuk V 2WD, 1,349,000 baht (RM166,600) untuk VL 2WD dan 1,427,000 baht (RM176,200) untuk VL 4WD.

GALERI: Nissan Terra di GIIAS 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required