GIIAS 2018: Nissan Terra mendarat di pasaran Indonesia – ‘Navara’ dengan tujuh-tempat duduk

GIIAS 2018: Nissan Terra mendarat di pasaran Indonesia – ‘Navara’ dengan tujuh-tempat duduk

SUV yang diasaskan dari trak pikap Nissan Navara NP300 iaitu Nissan Terra kini sudah pun hadir di pasaran Indonesia dan negara tersebut menjadi pasaran ASEAN kedua yang menerimanya selepas Filipina. SUV terbaharu berkenaan muncul ketika hari pertama Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 berlangsung.

Terra yang muncul buat kali pertama di China sebelum ini tampil dengan bentangan lima-tempat duduk, namun untuk pasaran Indonesia, kabinnya direka dengan tiga barisan bagi memuatkan tujuh-tempat duduk. Terra juga bakal berhadapan dengan SUV ladder-frame lain di Indonesia seperti Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Ford Everest dan Isuzu MU-X.

Versi Indonesia ini juga menyaksikan Terra diberikan enjin diesel, berbanding pasaran China yang dijana enjin petrol empat-silinder QR25 2.5 liter berkuasa 181 hp dan tork maksima 251 Nm. Oleh itu, Terra pada pasaran Indonesia dikuasakan oleh enjin turbodiesel YD25DDTi 2.5 liter empat silinder berkuasa 190 hp dan tork maksima 450 Nm.

Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear automatik konvensional tujuh-kelajuan dengan mod manual. Untuk penghantaran kuasa pula, pelanggan boleh memilih sama ada pacuan roda belakang (4×2) atau pacuan empat roda (4×4), manakala sistem differential lock hanya akan diberikan kepada model 4WD.

Nissan Terra mempunyai kelegaan tanah terbaik dalam kelasnya iaitu 225 mm. Jenama berkenaan turut mendakwa bahawa SUV terbaharu mereka ini mempunyai ruang kabin dan kargo terbaik berbanding saingan sekelasnya yang lain. Ketika dipamerkan di GIIAS, Terra turut didampingi oleh Nissan Terrano dan Patrol, bagi menunjukkan susur galur generasi SUV lasak berkenaan.

GIIAS 2018: Nissan Terra mendarat di pasaran Indonesia – ‘Navara’ dengan tujuh-tempat duduk

Untuk kelengkapan lain, Nissan Terra turut diberikan sistem bantuan mula mendaki, amaran titik buta, amaran keluar laluan, cermin pandang belakang pintar, monitor paparan sekeliling pintar dengan pengesan objek bergerak serta sistem pemantau tekanan angin tayar. Tempat duduk baris kedua pula boleh dilipat dengan menekan satu butang pada tempat duduk pemandu bagi memudahkan penumpang masuk ke baris terakhir – fungsi unik dalam kelasnya.

Nissan Terra akan dijual pada pasaran Indonesia pada harga bermula Rp 460 juta (RM129,477). SUV ini turut akan dilancarkan di Thailand tahun ini, manakala pasaran ASEAN lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam turut telah diumumkan akan menerima Terra. Kita di Malaysia walau bagaimanapun hanya boleh menelan air liur kerana tidak termasuk dalam perancangan untuk memsasarkan SUV ladder frame berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required