Tidak seperti Sienta Ezzy yang dipaparkan semalam, Toyota Fortuner TRD Sportivo ini ditawarkan untuk warga Indonesia. Diperkenalkan dalam GIIAS 2017, ini adalah pengenalan berdasarkan Hilux versi SUV tujuh-tempat duduk.

Mungkin ia kelihatan lebih kurang sama dengan Fortuner TRD Sportivo di Thailand, namun hakikatnya SUV bagi spesifikasi Indonesia ini berbeza dengan model yang diperkenalkan di Negara Gajah Putih pada Mac 2016. Tiada roda 20-inci pada model tersebut dan rekaan kit badannya juga berbeza.

Bagi model ini, hadapannya kelihatan sedikit garang dengan serlahan warna hitam pada bahagian gril. Malah logo TRD berarna merah diletakkan di antara gril dan plat nombor. Selain itu, bamparnya juga dilebarkan dan perumah lampu kabus lebih besar. Pada bahagian sisi, ia dipadankan dengan rim TRD dua-tona 18-inci dan juga pelekat merah-hitam di bahagian hujung bawah. Bampar belakang juga dilebarkan dan logo TRD Sportivo melengkapkan lagi gayanya.

TRD Sportivo ini boleh ditawarkan dengan enjin 2.4L GD diesel atau 2.7L Dual VVT-i petrol, kedua-duanya dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan bersama pedal penukar gear. Kit standard termasuklah lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang, cermin sisi boleh laras secara automatik dengan lampu isyarat membelok, tempat duduk balutan kulit coklat gelap, kawalan kelajuan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kamera undur, pendingin hawa automatik tiga-zon dan tailgate berkuasa.

Fortuner TRD Sportivo 2.4 VRZ 4×2 ditawarkan pada harga Rp 527,900,000 (RM169,634) manakala Fortuner TRD Sportivo 2.7 SRS 4×2 pula Rp 553,300,000 (RM177,796).

Buat masa ini, kita belum menerima Fortuner bagi versi TRD Sportivo di Malaysia, namun jika UMW Toyota Motor menawarkannya, mungkin boleh memilih sama ada versi Thai atau Indonesia.

GALERI: Toyota Fortuner TRD Sportivo, spesifikasi Thai