MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

Lanjutan berita yang tular bahawa lagenda rali negara, Karamjit Singh yang kini terpaksa menjual Proton Waja miliknya untuk membeli Proton Saga baharu untuk tujuan membuat perkhidmatan e-Hailing bagi meneruskan hidup, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) memberi respon akan memainkan peranannya bagi membantu juara dunia berkenaan.

Respon tersebut dilaporkan oleh Harian Metro yang menyebut bahawa MAM sedia membantu Karamjit Singh menerusi beberapa saluran tertentu termasuk memberikan sejumlah dana kepadanya. Bagaimanapun, Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli berkata, pihaknya perlu mendapatkan dahulu maklumat terperinci dari Karamjit Singh sendiri.

“Saya sudah minta kakitangan untuk berhubung dengan Karamjit dan kami juga mengalu-alukannya untuk memberi maklum balas kepada kami.

“Memang tanggungjawab kami untuk membantu. Banyak pelumba atau pemandu yang sudah kami bantu untuk meringankan beban mereka.

MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

“Contohnya kami pernah bantu pelumba drift, Tengku Djan (Ley Tengku Mahaleel) dengan memberi sejumlah dana untuk perlumbaannya di luar negara.

“Jadi perkara sama boleh dilakukan kepada Karamjit apatah lagi dia seorang ikon dan mempunyai pencapaian yang baik sebelum ini,” katanya kepada akhbar berkenaan.

Muizz juga menjelaskan bahawa kepakaran dan khidmat Karamjit juga boleh digunakan untuk kejohanan tertentu seperti MAM Cross Rally yang berada dalam perancangan MAM, tetapi masih tidak dapat dilangsungkan kerana pandemik Covid-19.

“Ia perlumbaan di mana setengah trek adalah laluan rali manakala setengah lagi laluan tar. Kita boleh menggunakan kepakarannya dari pelbagai sudut di saingan seperti itu,” katanya.

Minggu lalu, Karamjit membuat hantaran pada laman Facebook miliknya untuk menjual Proton Waja 1.6 manual yang digunakan setiap hari, bagi membolehkan ia membeli Proton Saga 1.3 manual kerana Waja tersebut sudahpun berusia dan tidak memenuhi kriteria kereta yang boleh digunakan untuk servis e-Hailing. Kereta tersebut terjual dengan cepat, pada hari itu juga.

MAM akan bantu Karamjit Singh dalam pelbagai cara

Semalam Harian Metro melaporkan luahan Karamjit Singh bahawa beliau masih sayangkan Proton Waja berkenaan. Dia juga menceritakan bahawa banyak wang ringgit termasuk kereta, rumah, wang simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semuanya habis digunakan sebagai modal untuk berlumba rali di peringkat Asia Pasifik satu ketika dulu.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa Karamjit Singh pernah dijanjikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mendapat pencen hasil kejayaan di arena rali dunia, namun ia hanya janji mulut dan hingga kini tidak pernah menerimanya.

Karamjit yang popular dengan gelaran ‘The Flying Sikh’ bukanlah seorang pelumba ‘biasa-biasa’. Beliau bersama pasukan Petronas EON Racing Team (PERT) telah mendominasi kejohanan rali peringkat kebangsaan pada era 90’an dan kemudian terus cemerlang diperingkat Asia Pasifik.

Malah beliau turut pernah bergelar juara dunia dengan memenangi gelaran berkenaan ketika bertarung dalam Kejohanan Rali Dunia kategori Produksi (PWRC) pada musim 2002, juga dengan pasukan Proton PERT.

Selepas pasukan Proton PERT dibubarkan, Karamjit Singh terus berlumba dengan duitnya sendiri. Pada tahun 2011, beliau kembali ke kancah Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk memburu gelaran kategori Group N 2WD dengan memandu Proton Satria Neo pasukan Proton R3.

Namun ia bukan projek yang dibiayai oleh Proton, sebaliknya Karamjit sendiri perlu membayar pasukan lumba Proton untuk mengejar gelaran berkenaan, dan beliau telah menghabiskan kira-kira RM600,000. Usaha tersebut berbaloi kerana beliau berjaya memperoleh gelaran juara tersebut pada 2011, dan Proton mengambil keputusan untuk meneruskan perlumbaan berkenaan untuk musim 2012, dengan membayar Karamjit sebagai pemandu rasmi – Karam dan Proton R3 sekali lagi mempertahankan kejuaraan berkenaan untuk musim 2012.

Sebelum ini kami telah pun menyiarkan artikel bagaimana Karamjit Singh berjaya memperolehi gelaran juara dunia hanya dalam percubaan pertamanya pada tahun 2002, diceritakan sendiri oleh pengasas Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Chris Mellors dan anda boleh membacanya pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required