GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

Minggu lalu kami dah laporkan bahawa SUV dengan saiz segmen-C yang diberikan tujuh-tempat duduk dari jenama China iaitu DFSK Glory 580 telah pun mendarat ke pasaran Malaysia. Dan hari ini kami sajikan kepada anda unit sebenar untuk pasaran tempatan ini dalam satu galeri komprehensif.

Walaupun jenama Dong Feng Sokon (DFSK) ini berasal dari China, unit CBU untuk pasaran Malaysia ini adalah dari versi pemasangan kilang jenama berkenaan yang terletak di Serang, Indonesia. SUV tujuh tempat duduk dengan saiz seperti Honda CR-V dan Proton X70 ini dijual dengan harga yang jauh lebih rendah iaitu RM89,470 atas jalan tanpa insuran – lebih kurang macam Honda BR-V dan Mitsubishi Xpander.

Di sini DFSK Glory 580 hanya ditawarkan dalam varian tunggal Luxury dan dijual oleh Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia, yang juga pengedar untuk trak komersial ringan Dongfeng Supercab. Ia hadir dalam empat warna badan iaitu Glorious Metallic Red, Elegant White, Phantom Black dan Champagne Silver serta turut dilindungi oleh waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.

Glory 580 juga dijana oleh enjin yang setara dengan saingan SUV segmen-C lain, menampilkan enjin 1.5 liter turbo yang menjana 150 PS dan tork maksima 220 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang turut diberikan mod manual, dan kuasa dialirkan hanya pada roda hadapan.

GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

Dari segi dimensi, SUV ini dihasilkan dengan saiz 4,680 mm panjang, 1,845 mm lebar, bersama jarak roda 2,780 mm. Jika dibandingkan dengan Proton X70, Glory 580 ini adalah 161 mm lebih panjang, 14 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh.

Tempat duduk baris ketiga untuk SUV ini dihasilkan kecil seperti Honda CR-V dan Nissan X-trail dalam versi tujuh tempat duduk seperti yang dijual pada pasaran tertentu. Tempat duduk baris kedua dan ketiga pada SUV ini boleh dilipat rata bagi memberikan ruang kargo tambahan jika anda perlukannya. Malah ia turut diberikan ruang bawah lantai tambahan untuk anda simpan penutup tonneau yang telah dicabut.

Glory 580 ialah SUV dengan kerangka badan unibody dan diberikan suspensi jenis topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia turut diberikan brek cakera di hadapan dan belakang, serta diberikan rim bersaiz 17-inci.

Tipikal sebuah model dari China, Glory 580 ini menampilkan rekaan ‘rojak’ dari pelbagai jenama lain. Mukanya direka seakan Honda HR-V, profil sisi nampak seperti Hyundai Santa Fe generasi sebelum ini, manakala rekaan belakang pula nampak seperti Audi Q5 generasi pertama dengan rekaan lampu yang diletak pada pintu tailgate sepenuhnya.

GALERI: DFSK Glory 580 1.5T di Malaysia – RM89,470, 7-tempat duduk, 1.5L Turbo, CVT, CBU dari Indonesia

Manakala rekaan dalaman pula banyak “inspirasi” yang diambil dari Volkswagen. Walau bagaimanapun, jangan pula anda mengharapkan kualiti material pada SUV ini setanding dengan jenama-jenama yang ‘diinspirasikan’ tersebut. Apa yang anda bayar, itulah yang akan anda dapat.

Untuk kelengkapan, model pasaran Malaysia ini diberikan ciri-ciri yang sama dengan varian Luxury pada pasaran Indonesia. Ia dibekalkan dengan tempat duduk balutan kulit dengan tema dua tona hitam-perang yang turut meliputi bahagian panel pintu, tempat duduk pemandu larasan elektrik, bumbung suria, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, cruise control dan dashcam secara standard.

Ia turut diberikan roda stereng pelbagai fungsi, pemantau tekanan angin tayar dengan paparan MID tanpa warna, brek parkir elektronik, kamera undur, skrin infotainmen 10-inci lengkap dengan sistem navigasi.

Khas untuk penumpang belakang, Glory 580 turut dilengkapi pendingin hawa dengan motor penghembus kabin belakang bersama panel kawalan berasingan – ia bukan diletakkan secara melintang, tetapi diposisikan secara menegak pada kedua-dua sisi kabin bagi memastikan setiap penumpang dibaris kedua dan ketiga menerima udara dingin berkenaan.

Untuk keselamatan, SUV ini dibekalkan dengan sistem brek ABS bersama EBD, sistem kestabilan elektronik, empat beg udara dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Glory 580 ini masih belum diuji oleh ASEAN NCAP, namun menerusi ujian C-NCAP di China, ia telahpun menerima penarafan lima-bintang.

Menurut Dongfeng Malaysia, mereka kini berada di Kuala Lumpur dengan ibu pejabat di kawasan perindustrian Batu Caves (berhampiran Nissan dan Cycle & Carriage) dan juga di negeri-negeri lain dalam Semenanjung Malaysia – kesemuanya bersedia bagi servis selepas jualan untuk Glory 580 ini.

Kami juga diberitahu bahawa kumpulan pertama SUV ini yang terdiri dari 10-unit sudah pun habis dijual kesemuanya. Kumpulan seterusnya dari Indonesia akan sampai ke sini pada 2021. Dongfeng Malaysia juga merancang untuk memasang SUV ini secara pemasangan tempatan (CKD) pada tahun hadapan.

Syarikat tersebut turut menyatakan bahawa sebelum operasi CKD berkenaan bermula, mereka turut akan membawa model Glory i-Auto, iaitu Glory 580 yang dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan lebih baik, serta menampilkan muka dan juga papan pemuka dengan rekaan berbeza.

Unit berwarna hitam yang anda lihat ini pula telah digunakan sebagai unit ujian DongFeng Malaysia, di mana ia telah dipandu oleh pasukan jualan dan pemasaran ke seluruh semenanjung Malaysia, mencatatkan jarak hampir 18,000 km dalam masa hanya dua bulan, tanpa sebarang masalah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required