Umum mengetahui, Mitsubishi buat masa sekarang memberikan fokus untuk menghasilkan model-model SUV dan trak pikap, dan kereta yang ada dalam barisan model mereka adalah pasangan kembar Mirage dan Attrage, manakala Lancer pula hanya dijual pada pasaran China dan Taiwan dan masih menggunakan platform yang telahpun berusia 13-tahun.

Ini adalah kerana Mitsubishi telah mengharungi pelbagai masalah termasuk berberapa skandal syarikat, menyebabkan sumber kewangan mereka untuk R&D terbatas, dan model-model SUV baharu yang dihasilkan betul-betul ditumpukan apa yang mendapat sambutan dalam pasaran buat masa sekarang, serta menggunakan pengetahuan mereka dalam kejohanan rali dunia (WRC) dan Rali Dakar satu ketika dahulu.

Namun tahukah anda, pada 2009 Mitsubishi telahpun memfailkan rekaan terhadap model sedan segmen-D mereka iaitu Mitsubishi Galant untuk versi generasi ke-10? Perkara ini terdedah apabila fail lukisan paten tersebut ditemui di Pejabat Tanda Perniagaan dan Paten Jepun, disiarkan oleh portal Auto Industriya.

Seperti yang anda boleh lihat, Galant generasi ke-10 ini dihasilkan dengan muka hampir seiras dengan Lancer pada era tersebut. Manakala secara keseluruhan, ia sebenarnya adalah versi produksi yang dirancang untuk model konsep Mitsubishi Concept-ZT yang didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show 2007.

Berbanding Lancer, sudah tentu Galant ini menampilkan saiz badan lebih besar, dan ia juga tidak diberikan bahagian but yang tinggi. Malah panel plat pendaftaran belakang juga direka pada penutup but, berbanding pada bampar untuk Lancer.

Kenapa Mitsubishi tidak meneruskan projek ini? Seperti yang disebutkan tadi, ketika ini Mitsubishi mula menyusun semula strategi perniagaan mereka, menyebabkan Galant terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pesaing-pesaing segmen-D yang lain seperti Honda Accord, Toyota Camry dan Nissan Teanna.

Agak-agak kalau Galant generasi ke-10 ini masuk ke pasaran, enjin apa yang akan diguna ya? Untuk model generasi ke-sembilan, Galant pasaran Amerika Syarikat diberikan enjin 2.4 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 160 hp bersama kotak gear automatik empat-kelajuan, dan juga versi 3.8 liter V6 MIVEC bersama kotak gear automatik lima-kelajuan.

Manakala pada model Concept-ZT 2007 pula, ia menerima enjin 2.2 liter turbodiesel berkuasa 188 hp dan tork maksima 400 Nm. Jadi berkemungkinan kesemua pilihan enjin ini akan diberikan pada model generasi ke-10 tersebut. Turut dilaporkan, Concept-ZT dihasilkan dengan dimensi 4,950 mm panjang, 1,820 mm lebar dan jarak roda 2,815 mm – saiz Galant generasi ke-10 berkenaan mungkin tidak jauh dari angka-angka ini.