Untuk Tokyo Auto Salon 2021 yang akan berlangsung bulan depan secara maya, Toyota juga tak ingin terlepas menggunakan peluang itu untuk mempamerkan beberapa rekaan kustom. Melalui jenama talaannya, TRD dan Modellista, Toyota telah mendedahkan apa yang bakal mereka tunjukkan di acara itu — dengan aksesori yang boleh diperoleh kemudiannya daripada pengedar mereka.

Bagi TRD, jenama itu akan mempamerkan kelengkapan terbaru GR untuk model GR Supra, termasuk pendakap strut baru dan penyerap hentak prestasi yang disifatkan dapat memperbaiki kestabilan kendalian dan keselesaan. Tidak lupa, muffler ekzos sport dengan injap. Semua komponen baru ini menyertai kelengkapan sedia ada seperti spoiler untuk bampar depan dan belakang, kit sisi, kemasan pintu dan spoiler belakang.

Turut dibawakan sekali ialah kelengkapan GR bagi GR Yaris, yang menerima bodykit penuh dan spoiler belakang yang dilanjutkan, muffler sport dengan empat corong ekzos serta bahagian dalam kabin gentian karbon. 86 TRD Griffon Concept juga dijangka akan membuat penampilan.

Bagi Modellista, Mirai terbaru akan membuat penampilan, dipasangkan dengan spoiler depan, kit badan sisi, kemasan bampar belakang serta kemasan bampar warna badan, termasuk kemasan krom pada cermin sisi dan pemegang pintu. Mereka juga akan mempamerkan Yaris Cross, serta peluang untuk pemerhati mendekati Mirai dan Harrier secara augmented reality melalui telefon.

GR Supra

GR Yaris

Mirai