Setelah beberapa teaser disiarkan, Yamaha akhirnya melancarkan model Exciter serba baru untuk pasaran Vietnam. Model yang juga dikenali sebagai Y15ZR di negara kita ini sekarang mendapat pembaharuan menyeluruh termasuk pada bahagian panel badan, enjin, transmisi serta kelengkapan lain.
Exciter 2021 ini digerakkan oleh enjin sama seperti R15 dan juga MT-15, iaitu unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA), yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm. Jumlah kuasa ini sedikit kurang berbanding R15 yang mencatat 19 hp dan 14.7 Nm tork.
Selain enjin, perubahan utama yang boleh dilihat jelas adalah penampilan, di mana semua panel badan Exciter 155 VVA ini adalah serba baru, berserta lampu jenis LED dengan nyalaan utama di bahagian atas, DRL di bahagian bawah dan penunjuk arah di bahagian tepi. Rekaan lampu belakang juga adalah baru dan dikatakan mendapat inspirasi daripada model sports YZF-R1.
Pergi kepada bahagian meter, Exciter 155 VVA menggunakan unit digital LCD baru yang dapat memaparkan semua informasi dengan terang termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear. Pada bahagian butang kawalan di pemegang, selain fungsi biasa, penunggang juga disediakan dengan butang kill switch serta lampu memotong (pass light).
Disebabkan semua panel badan model ini adalah serba baru, tempat duduknya juga adalah baru, dengan mempunyai bentuk yang lebih sporty. Di bawahnya, terdapat tangki bahan api yang lebih besar berbanding Exciter sebelum ini, iaitu 5.4 liter.
Selain enjin, prestasi Exciter baru ini turut dipertingkat dengan angkup brek dua piston pada roda hadapan (versi Premium sahaja) sementara fork hadapan pula ditala semula untuk menjadi lebih tinggi 10 mm (kini 100 mm). Monoshock belakang pula didatangkan dengan pelindung baru.
Exciter 155 VVA didatangkan dalam tiga versi iaitu GP Edition, Premium dan Standard, dengan harga masing-masing 50.49 juta (RM8,848), 49.99 juta (RM8,761) dan 46.99 juta Dong (RM8,235). Versi Standard tidak mendapat angkup brek dua piston, sistem kunci pintar serta soket pengecas 12V, sementara versi GP Edition mendapat semua kelengkapan ini, bersama grafik khas warna biru.
Selain daripada peningkatan yang dinyatakan di atas, Exciter 155 VVA masih lagi menggunakan kelengkapan lain seperti rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, serta brek cakera belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.