Tahun lepas, Kia telah menunjukkan buat kali pertama logo baru mereka pada kereta konsep Imagine dan sejak daripada itu, lgoo itu juga sudah beberapa kali dilihat pada gambar paten dan spyshot kereta baru. Sekarang, kita juga sudah mengetahui bahawa pengeluar dari Korea Selatan ini akan menggunakan slogan baru, “Movement that Inspires” bersama logo ini.
Logo serta slogan ini ditemui oleh Korean Car Blog apabila ia muncul di laman web Korean Intellectual Property Rights Information Service (KIPRIS) awal bulan ini. Tiada lagi garis bulat keliling logo seperti yang digunakan sejak 1994, dan tulisan Kia itu sendiri menggunakan bentuk baru lebih tajam dengan garisan tegak dan serong.
Slogan “Power to Surprise” yang diperkenalkan pada tahun 2012 pula akan diganti dengan “Movement that Inspires”. Slogan ini bertepatan dengan tempoh pertumbuhan Kia, yang berjaya menghasilkan pelbagai model baru yang bergaya serta menyertai segmen mewah yang lebih tinggi melalui sedan K9/K900.
Logo serta slogan baru ini mungkin akan diperkenalkan secara rasmi bulan hadapan apabila Kia membentangkan strategi “Plan S” mereka. Menurut Automotive News, CEO Kia, Ho Sung Song memberitahu bahawa syarikat mensasarkan untuk menjadi “lebih dinamik, bergaya dan inventif dengan melancarkan 11 kereta elektrik baru menjelang tahun 2025 dan model yang pertama akan didedahkan tahun depan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.