Selepas teaser MPV ini disiarkan, UMW Toyota Motor (UMWT) kini mengumumkan bahawa Toyota Innova facelift 2021 sudahpun boleh ditempah, dan harganya juga telah pun didedahkan.

Toyota Innova facelift 2021 ini ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan versi asas Innova 2.0E berharga RM111,622, diikuti Innova 2.0G berharga RM122,483, dan varian tertinggi 2.0X dijual pada harga RM129,677. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan hingga 30 Jun 2021. Versi teksi untuk model 2.0E juga ditawarkan pada harga RM97,978.

MPV yang dikemaskini ini bukan sahaja menerima rupa yang disegarkan, malah sistem keselamatan tambahan juga kini dibekalkan secara standard untuk semua varian. Perubahan luaran yang diberikan pada Innova facelift ini termasuk bampar baharu bersama gril berbentuk trapezoid dengan kemasan hitam dan krom, disesuaikan dengan sepasang lampu hadapan baharu yang lebih tajam.

Lampu kabus dan juga perumahnya turut direka semula, kini diposisikan secara menegak, sesuai dengan mukanya yang diperbaharui. Walau bagaimanapun, tiada perubahan besar dilihat pada bahagian belakang kerana ia masih menggunakan perumah lampu berbentuk-L yang sama. Apa yang berbeza, hujung keliling lampu tersebut kini digelapkan, manakala kemasan yang menghubungkan keduanya kini berwarna hitam.

Perubahan lain yang boleh dilihat termasuk cermin sisi untuk model 2.0G dan 2.0X kini menerima perumah krom bersama lampu isyarat membelok, manakala spoiler belakang yang hanya ditawarkan untuk model 2.0X telah direka semula untuk memberikan kesan aerodinamik lebih baik.

Varian 2.0X juga kini didatangkan dengan kemasan penggayaan tambahan yang ekslusif hanya untuknya, seperti kemasan pelindung pada ruang roda, kemasan sisi dan juga skirt sisi yang direka semula. Ia juga menerima rim aloi kemasan kelabu gelap berdiameter 17-inci.

Pada bahagian dalaman, model 2.0G dan 2.0X dibekalkan dengan skrin sesentuh sembilan-inci untuk sistem infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin berkenaan turut memaparkan visual dari Pemantau Pandangan Panaromik 3D yang dibekalkan secara standard untuk kedua-dua varian berkenaan.

Kesemua port USB juga telah ditingkat taraf yang memberikan pengecas pantas, manakala dua port di hadapan diposisikan semula ke papan pemuka dari panel konsol tengah, dan penumpang di baris ketiga turut menerima port USB mereka sendiri.

Perincian lain yang diberikan pada Toyota Innova 2021 ini termasuk tempat duduk kapten pada baris kedua, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dengan larasan lapan-hala, serta lampu suasana LED untuk kabin.

Untuk keselamatan pula, kesemua Innova 2021 ini dibekalkan dengan tujuh beg-udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) bersama traction control, ABS dengan EBD dan BA, serta Bantuan Mula Mendaki. Model 2.0G dan 2.0X turut menerima pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

UMWT turut menawarkan opsyen tambahan iaitu sistem Toyota Vehicle Telematics (VTS) yang boleh mengesan pergerakan MPV ini menggunakan teknologi GPS dan GSM, serta pengecas peranti mudah alih tanpa wayar dan juga perakam video digital hadapan dan belakang.

Tiada perubahan dari segi mekanikal pada model facelift ini, dan ia masih digerakkan dengan enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat silinder NA berkuasa 139 PS dan tork maksima 183 Nm. Kuasa dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan dan turut disertakan dengan penukar mod manual.

Toyota Innova facelift 2021 ditawarkan dalam enam warna badan iaitu Medium Silver Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown, Silver Metallic, Super White II dan Bronze Mica Metallic. Model tertinggi 2.0X turut ditawarkan dengan warna istimewa Crimson Spark Red Metallic. Setiap pembelian MPV ini disertakan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.