Ken Block tamatkan kerjasama dengan Ford – Hoonigan akan kembali bersama Subaru selepas ini?

Ken Block tamatkan kerjasama dengan Ford – Hoonigan akan kembali bersama Subaru selepas ini?

Selepas 11 tahun membawa nama Ford untuk berlumba dan menghasilkan pelbagai video Gymkhana, pemandu sensasi Youtube, Ken Block mengumumkan kini sudah tidak lagi bersama jenama Blue Oval berkenaan. Menurut Block dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bermula Januari 2021 dia adalah agen bebas dan kini mempunyai pilihan untuk memandu pelbagai jentera yang lebih luas.

“Berkerja dengan Ford lebih sedekad yang lalu adalah sangat hebat,” kata Ken Block. “Dari berlumba ke seluruh dunia, sehingga mendapat tontonan setengah bilion dari Gymkhana THREE hingga Gymkhana TEN, menghasilkan siri Gymkhana Files yang mendapat pencalonan Emmy untuk Amazon Prime – bersama membina banyak jentera Ford termasuk Mustang Hoonicorn dan F-150 Hoonitruck yang ikonik – ia adalah kerjasama yang hebat.

“Ia adalah impian menjadi kenyataan untuk bekerjasama dengan syarikat yang membina trak yang ayah saya pandu ketika saya remaja. Saya sangat menghargai sokongan dari Ford selama ini, tetapi saya turut melihat kehadapan apa yang ada pada 2021 yang tiada had, dan kemampuan saya untuk melebarkan sayap lebih besar dan bermain dengan lebih banyak permainan,” jelas Block lagi.

Sepanjang bersama Ford, Ken Block berjaya memenangi 19 perlumbaan bersama 17 podium, dua medal X Games, dan juga menjadi rakyat Amerika pertama yang memperolehi mata dalam kejohanan rali dunia (WRC). Tahun 2020 juga mencatatkan pelbagai kejayaan untuk Ken Block bersama Ford di mana dia menjadi juara di Rally Barbados dengan Ford Fiesta R5, menang dalam kelasnya (dan ketiga keseluruhan) dalam Rally Legend di San Marino bersama Ford Escort Cossie V2, dan memenangi perlumbaan pertama Projekt E untuk FIA World RallyCross Championship di Holjes, Sweden, dengan Ford Fiesta.

Ken Block dan Hoonigan juga telah melancarkan siri video viral baharu iaitu Hoonicorn Vs. The World. Siri dengan 11 episod berkenaan menampilkan Ken Block berlumba dengan Ford Mustang RTR Hoonicorn 1956 menetang pelbagai jentera termasuk Mclaren Senna. Siri berkenaan telah ditonton lebih dari 34 juta kali sejak dilancarkan pada lewat November lalu.

Ken Block tamatkan kerjasama dengan Ford – Hoonigan akan kembali bersama Subaru selepas ini?

Sempena perpisahan ini, Ken Block turut menghasilkan satu video khas iaitu pemanduan jentera kegemarannya – Ford Mustang Hoonicorn V2 1,400 hp AWD – buat kali terakhir yang telah pun disiarkan di Youtube. Block turut menyatakan bahawa Hoonigan Racing Division akan mengumumkan kerjasama baharu tidak lama lagi

Dalam satu video sempena perpisahan ini yang disiarkan oleh Ken Block di Facebook, dia memulakan ucapan dengan latar belakang jentera-jentera Ford yang dibina sepanjang kerjasama berkenaan, namun diakhiri dengan Subaru Impreza WRX STI yang digunakan dalam video Gymkhana TWO. Malah pada tahun lalu, Hoonigan menghasilkan video Gymkhana terbaharu tanpa Ken Block, tetapi digantikan oleh sahabatnya iaitu Travis Pastrana yang memandu Subaru WRX STI. Adakah ini bayangan bahawa Ken Block akan kembali semula dengan Subaru?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required