Renault Kiger bakal diperkenalkan di India pada 28 Januari ini dan teaser model ini telah pun disiarkan buat pertama kalinya menjelang pengenalannya itu. Pengeluar kereta Perancis ini telah pun menyiarkan imej bayangan SUV kompat tersebut dan sebelum ini mereka berkata rekaannya adalah 80% hampir sama dengan model konsep yang dipertontonkan pada November tahun lalu.

Untuk sebahagian besarnya, ia memang hampir sama, namun bagi versi produksi ini, bahagian pencahayaan hadapannya tidak seperti model konsep tersebut. Ini termasuklah dengan bentangan dua tingkat, bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED yang nipis yang diposisikan di atas lampu utama dengan rekaan tiga-elemen.

Tidak seperti model konsep, lampu DRL itu menampilkan bentuk yang kurang menonjol dan tidak disambung ke gril hadapan, malah lencana Renault juga ditampilkan sedikit kecil. Selain itu, rel bumbung konvensional diberikan berbanding dengan struktur yang agak keterlaluan pada model konsep.

SUV kompak empat-meter ini akan menggunakan platform Renault CMF-A+, di mana ia turut digunakan oleh Nissan Magnite. Menurut Renault, Kiger akan “dijanakan oleh enjin turbo serba baharu” yang mungkin sama dengan unit HRA0 1.0 liter pengecas turbo tiga-silinder (99 hp dan 160 Nm) seperti model Nissan tersebut.

Magnite juga ditawarkan dengan versi enjin naturally-aspirated (B4D) yang menawarkan kuasa 72 PS (71 hp) dan 96 Nm, tetapi tidak dipastikan adakah Kiger bakal mendapat penjana kuasa yang sama. Transmisi manual lima-kelajuan diberikan secara standard dengan penjana kuasa NA dan turbo yang juga akan ditawarkan dengan CVT.

GALERI: Model konsep Renault Kiger