Toyota GR Supra Eurofighter – jentera drift badan karbon Kevlar sepenuhnya, enjin 2JZ lebih 1,000 hp!

Toyota GR Supra Eurofighter – jentera drift badan karbon Kevlar sepenuhnya, enjin 2JZ lebih 1,000 hp!

Firma kejuruteraan dari Latvia, HGK Racing telah mendedahkan jentera drift ‘Eurofighter’ terbaharu mereka – jika sebelum ini HGK terkenal dengan BMW E92 Eurofighter, kali ini ia diasaskan dari Toyota GR Supra, yang dibekalkan dengan lebih dari 1,000 hp!

Projek ini telah dimulakan sekitar 12 bulan lalu. GR Supra Eurofighter ini diberikan rombakan besar dari segenap sudut. Keseluruhan panel-panel badannya telahpun dileraikan, dan ia digantikan dengan panel-panel dari material jauh lebih ringan dan kuat.

Warna hijau gelap yang anda lihat pada badan GR Supra ini bukanlah cat mahupun pelekat, ia adalah warna asal panel-panel yang dihasilkan dari bahan karbon Kevlar. HGK Racing turut menghasilkan rekaan baharu untuk panel-panel badan berkenaan, menampilkan kesemua fender dan skirt sisi yang dilebarkan, serta bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif.

Toyota GR Supra Eurofighter – jentera drift badan karbon Kevlar sepenuhnya, enjin 2JZ lebih 1,000 hp!

Tidak cukup dengan itu, kesemua tingkap-tingkap kaca pada GR Supra ini turut digantikan dengan komponen-komponen yang diperbuat dari bahan Lexan.

Seperti jentera-jentera drift kompetitif lain, sistem suspensi dan stereng pada GR Supra ini telah diberikan ubahsuai yang cukup ektensif. Ia melibatkan kit lengan-lengan suspensi dan stereng yang membolehkan ia mendapatkan sudut drift yang sangat besar.

Untuk menggerakkan jentera drift ini, enjin enam-silinder turbo berkembar B58 dari BMW yang berada dalam perut GR Supra tersebut dikeluarkan, dan digantikan dengan enjin betul-betul Toyota, 2JZ-GTE 3.0 liter enam-silinder dari Supra generasi sebelumnya.

Enjin berkenaan juga menerima ubahsuai ekstrem yang turut melibatkan penggunaan dua pengecas turbo. Menurut HGK, enjin tersebut berupaya menghasilkan 1,015 hp pada aci engkol, atau 826 hp apabila disukat pada roda. Bagi memindahkan kuasa ke roda belakang, ia gandingkan dengan kotak gear sequential dari Samsonas, bersama gandar belakang Winters Performance.

Dalam kabin, pemandu akan dilindungi dengan rollcage penuh yang dibangunkan oleh HGK sendiri, bersama perincian lain seperti tempat duduk perlumbaan dari Sparco dan tali pinggang keselamatan dari TRS Motorsport. Komponen-komponen yang dihasilkan dari gentian karbon juga cukup banyak pada bahagian ini, termasuk papan pemuka yang dibina semula.

Kereta ini dihasilkan oleh HGK Racing untuk pelumba drift Rusia, Nikita Shikov. Ia bakal membuat kemunculan pada siri kejohanan Russian Drift Series akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required