Toyota GT86 ucap sayonara di UK – unit akhir terjual

Toyota GT86 ucap sayonara di UK – unit akhir terjual

Selepas hampir sembilan tahun, Toyota GT86 yang terakhir telah pun dijual di United Kingdom, menandakan sudah tiba masanya jentera prestasi itu mengucapkan sayonara atau pun selamat tinggal di pasaran di sana. Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak hampir 7,500 unit GT86 telah dijual dan sempena dengan ‘ucapan selamat tinggal’ ini, Toyota UK telah pun menyediakan filem pendek dengan merakam momen terbaik bagi GT86 untuk hampir sedekad ini.

Idea bagi menghasilkan GT86 (atau turut dikenali sebagai 86 di beberapa pasaran lain) dikeluarkan pada tahun 2005 apabila Toyota dan Subaru menjalinkan usahasama dan mahu membuat sesuatu sebagai simbol sempena pakatan tersebut. Kereta sport asas telah dipersetujui untuk dibangunkan bersama, maka terhasillah model konsep FT-86 sebelum coupe 2+2 versi produksi itu diperkenalkan di Toyota Motor Show pada tahun 2011.

Dijanakan oleh enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder (boxer) dengan sistem bahan api suntikan terus dan D-4S port dari Toyota, GT86 pacuan roda-belakang ini turut ditawarkan dengan transmisi automatik dan manual. Malahan pilihan aftermarket yang besar juga menjadi platform yang popular untuk jentera ini dimodifikasi.

Toyota GT86 ucap sayonara di UK – unit akhir terjual

Di UK, GT86 juga menjadi pilihan untuk ditransformasi menjadi kereta lumba bagi kelas GT4 dalam British GT Championship, dan turut diolah menjadi jentera rali CS-R3 GT86 untuk British Rally Championship yang dipandu oleh Chris Harris. Bukan itu sahaja, GT86 juga pernah dibaluti dengan pelekat khas bagi meraikan jentera lumba legenda Toyota di Goodwood Festival of Speed 2015.

Ini diikuti dengan meraikan jentera Le Mans Toyota yang terkenal yang pernah menyertai perlumbaan endurance 24 jam pada tahun 2018. Bukan itu sahaja, Toyota UK juga pernah memberikan “imej panda” pada GT86 yang menjadi ikonik dalam Toyota AE86 Sprinter Trueno dari siri animasi Initial D, sekadar untuk suka-suka.

Selain itu, GT86 juga pernah diangkat sebagai Reasonably Fast Car pilihan Top Gear dan diiktiraf sebagai “Kereta Tahunan” oleh penerbitan yang sama pada tahun 2012, dengan menerima pujian melambung tinggi daripada Jeremy Clarkson. Kejayaan GT86 tidak terhenti begitu sahaja apabila ia dijadikan pilihan oleh juara drift Fredric Aasbo, yang menggunakan GT86 yang dimodifikasi dengan hamburan kuasa 1,150 hp, melakukan aksi drift untuk membentuk logo 86 bersaiz gergasi, yang boleh dikesan menerusi satelit orbit.

Toyota UK turut berkata, “ini bukanlah akhir sebuah kisah: saksikannya di bab akan datang.” Bunyinya macam memberikan bayangan bahawa bakal ada pengganti bagi GT86, yang ada perkhabaran menyatakan model tersebut, GR 86, bakal tiba di pasaran UK.

Sebenarnya, ini bukanlah perkara yang mengejutkan, kerana Toyota dan Subaru telah pun bersetuju untuk membangunkan kembar Toyobaru. Sebelum ini, BRZ baharu telah pun didedahkan, malahan imej paten bagi bampar GR 86 juga telah tersebar. Apa pun, kena nantikan perkembangan selanjutnya dari pakatan Toyobaru itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required