Di pasaran UK, selain versi Toyota Hilux AT35 2021 terbaru oleh Arctic Trucks, turut diumumkan ialah barisan aksesori bagi trak pikap berkenaan, memberi pilihan kepada pelanggan dengan 40 kelengkapan berasingan untuk mereka hias trak dengan gaya tersendiri.

Bagi model Invincible dan Invincible X, pelanggan boleh memilih sport bar krom sepenuhnya dan palang sisi dengan pemijak yang disekalikan, serta penutup aliminium boleh gulung untuk ruang belakang. Untuk Invincible X pula, kelengkapan sama dalam kemasan hitam kesat boleh dipilih untuk menjadikan imejnya lebih sporty.

Aksesori lain termasuklah kotak simpanan berkunci yang sedang elok termuat di bahagian belakang, serta lantai deck dengan permukaan kesat bagi memudahkan naik-turun barang (sehingga 300 kg). Permukaan pada kawasan kargo pula boleh dilindungi dengan polyurethane. Lapis aluminium atau semburan turut ditawarkan.

Jika inginkan ruang barangan terlindung sepenuhnya, penutup pilihan ada ditawarkan, dengan warna yang sepadan dengan badan Hilux, dan datang bersekali dengan tingkap sisi tersorok serta pencahayaan lampu dalaman LED. Penutup tonneau aluminium boleh juga dipasang, atau dari jenis plastik keras. Semua ini mengambil kira aspek aerodinamik.

Selebihnya, ciri tow bar kini disediakan dengan adaptor tujuh atau 13-pin sebagai ciri standard. Pelapik lantai pula boleh dipilih dalam bentuk getah keras atau tekstil, dengan kelengkapan lain termasuklah lampu tinggi, rim 18-inci hitam kesat atau 17-inci aloi dan sistem penggera dan dash-cam.

Aksesori lain yang turut tersenarai ialah pemegang ski atau papan luncur salji, pemegang basikal, scuff plate aluminium dan penghadap lumpur. Semua ini boleh dimasukkan ke dalam pakej pembiayaan kenderaan, dan jika di beli bersama kenderaan baru, akan datang dengan jaminan lima-tahun atau 160,000 km.