Jarang-jarang model baru sekarang ini libatkan rekaan Van petak. Mujur Volkswagen akan ada sebuah nanti. Pertama kali dipertontonkan pada Detroit Auto Show 2017, versi produksi bagi Volkswagen ID. Buzz elektrik sepenuhnya telah dilihat, walaupun masih sebagai model ujian yang menggunakan badan van T6.
Penampilannya nampak lebih pendek dan lebih lebar berbanding van T6 komersial yang dirujuk, dan ia boleh dijangkakan bakal menggunakan penggayaan versi produksi yang pernah dilihat pada model ID. Buzz Concept, serta ilham rekaan yang dipinjam dari ID.3 hatchback dan SUV ID.4.
Platform Modular Electric Drive Kit (MEB) digunakan untuk ID. Buzz dan ID. Buzz Cargo, yang membolehkan penggunaan sepasang motor elektrik – satu di setiap gandar – untuk mendapatkan output sistem 369 hp. Spesifikasi bateri paling besar akan mempunyai 111 kWh, menawarkan jarak sehingga 600 km; begitu penjelasan Volkswagen ketika pengenalan model konsepnya dulu.
Bagi versi kegunaan yang lebih sederhana, turut ada ada versi pacuan belakang dengan 268 hp, dengan bateri berkuasa 83 kWh. Pada model konsepnya, ID. Buzz boleh mencapai tahap 80% bagi baterinya dalam masa 30 minit pengecasan.
Volkswagen juga sebelum ini memanklumkan ID. Buzz akan berada di bilik pameran bermula tahun depan, dan antara pasaran yang bakal menerima kelahiran semula van ini dalam bentuk EV termasuklah Amerika, Eropah dan China. Model ini kemudiannya akan diikuti pula dengan versi kargo, ID. Buzz Cargo.
Model Transporter T6.1 semasa yang ada ketika ini turut menampilkan versi sifar pembebasan gas, walaupun ini dibangunkan bersama ABT. Versi berkenaan menjana kuasa daripada motor elektrik tunggal 112 PS, dengan pek bateri 38.8 kWh atau 77.6 kWh. Menurut Volkswagen Kapasiti yang lebih besar ini membolehkan jarak perjalanan mencecah 400 km (kitaran NEDC).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.