Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

Jika Malaysia berhasil menghadirkan sebuah rekaan untuk SUV elektrik pertama, bagaimana rekaan yang dirasakan wajar diberi perhatian? Walaupun ini bukan merujuk kepada mana-mana pengeluar tempatan, paling tidak kita ada bayangan awal rekaan berkenaan, yang dihasilkan oleh pereka individu kita sendiri, Saharudin Busri.

Orang yang kerja-kerja rendering bagi rekaan automotifnya ini bukanlah nama asing bagi kami di paultan.org. Beberapa hasil rekaannya pernah kami paparkan di laman ini, misalnya Proton Suprima X dan juga Savvy 18. Kali ini beliau kembali lagi untuk membayangkan sebuah SUV elektrik sepenuhnya yang pertama Malaysia pula.

Secara ringkas, latar ideanya datang daripada rasa hairan dan bosan berkaitan projek kereta nasional ketiga (ini kecoh dibahaskan dalam dua tahun kebelakangan ini) yang ketika itu meletakkan sasaran untuk memperkenalkan kenderaan EV binaan Malaysia yang pertama tahun ini. Tapi, nampaknya itu mungkin suatu hal semakin jauh untuk digapai dalam keadaan politik dan sosial di Malaysia ketika ini.

Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

Maka lahirlah rekaan ini, yang belum diberikan nama khusus melainkan EV-SUV sebagai pengubat keresahan beliau. Menurut Saharudin, sebagai seorang pereka automotif tempatan, beliau berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah rekaan dan visinya terhadap sebuah kenderaan EV yang bagaimana sepatutnya Malaysia lahirkan.

Dengan bahasa rekaan bercirikan elemen moden serta penggayaan badan kenderaan maskulin, beliau berasakan pendekatan itu selari dengan corak atau trend automotif dan kenderaan EV yang diproduksi di dunia, ketika ini. Mengapa SUV? Rasanya kita boleh menerka jawapannya; kerana inilah jenis rekaan badan kenderaan yang mendominasi pasaran dunia sekarang. Dan ditangan beliau,

Daripada apa yang dapat dilihat, sentuhan rekaan pada SUV ini menampilkan banyak elemen yang “tajam” dan “leper”, dimuatkan ke dalam satu bentuk asas yang besar. Mungkin, tak berlebihan jika membayangkan Lamborghini Urus sebagai jelmaan sebenar terdekat dengan rekaan ini. SUV ini turut diberikan rekaan bukaan udara yang ketara, misalnya seperti yang dapat dilihat pada bahagian fender depan dan belakangnya.

Imej rekaan EV-SUV pertama M’sia — cukup bergaya?

Rekaan lampu belakangnya juga futuristik, terbentang dalam kelebaran penuh SUV ini dari kiri ke kanan, memuatkan semua lampu yang ada seolah-olah berada dalam satu unit tunggal yang bergaya. Selebihnya, “rupa” bahagian belakang ini dijelaskan dengan rekaan cermin yang agak kecil dan sempit, lekuk minimal antara garis lampu dan bahagian bampar hitam dan seterusnya rekaan diffuser yang ada untuk menampakknya sisi sporty.

Elemen body cladding yang tidak terlalu tebal juga diberikan kepada SUV ini, satu ciri khas yang kerap digunakan pada rekaan-rekaan model crossover — mungkin untuk mencadangkan sisi lasak. Lekuk bahagian sisi badan juga membuatkan rekaannya nampak elegan, sebelum disudahi dengan jalur krom atau skirting sisi serta penggunaan rim dengan rekaan “tajam” yang sepadan dengan unsur keseluruhan rekaan yang ditampilkan.

Ketika ini, hanya rekaan bahagian sisi dan belakang yang ada. Rekaan depan akan menyusul nanti. Saharudin menghasilkan rekaan ini asalnya sebagai latihan kepada pelajar-pelajar rekaan industri secara dalam talian. Beliau kini dalam proses membangunkan 3D modeling untuk EV-SUV ini, dan merancang untuk mengadakan sebuah pameran maya (virtual reality) dalam tempoh sebulan dari sekarang. Apa pandangan anda tentang rekaan ini? Ada merit untuk dijadikan rekaan sebenar?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required