Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Jika tahun lalu rakyat Malaysia ternanti-nantikan pelancaran SUV segmen-B Proton X50, tahun ini merupakan tahun untuk Perodua pula – tempahannya sudahpun mula dibuka, dan pelancaran untuk SUV segmen-B Perodua Ativa nampaknya sudah tidak lama lagi dari sekarang.

Walaupun kedua-dua SUV ini berada dalam kelas segmen-B, namun X50 dan Ativa bukanlah lawan terus kerana SUV kompak dari Perodua ini menampilkan saiz badan dan juga enjin yang lebih kecil. Ini mungkin membolehkan Perodua mendapatkan pasaran lebih luas kerana ia akan dijual pada harga lebih mampu milik iaitu bermula RM62,500 hingga RM73,400.

Namun, ini bukan bermakna Perodua akan menghasilkan model yang ‘asal ada’ bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berminat terhadap SUV. Sebaliknya Ativa ini diasaskan dari platform produksi termaju Daihatsu buat masa sekarang, dikenali sebagai Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Beza antara platform baharu ini dengan platform-platform Perodua sedia ada amatlah jauh. Contohnya untuk Myvi generasi ketiga, ia adalah platform yang diubahsuai dari model generasi sebelumnya, pada asalnya adalah Daihatsu Boon/Toyota Passo yang muncul pada tahun 2010.

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Satu lagi contoh adalah Perodua Aruz yang diasaskan dari Daihatsu Terios/Toyota Rush yang pada asalnya dihasilkan untuk pasaran Indonesia serta pasaran lain yang hampir serupa dan bukan model pasaran global. MPV dengan bentuk SUV tersebut menerima platform ladder frame seakan trak pikap, dan sudah tentu tidak akan dijual pada pasaran seperti Jepun.

Manakala bagi platform DNGA ini, ia sebenarnya versi untuk Daihatsu dihasilkan berasaskan dari platform Toyota Global Architecture, asas kepada model-model terkini Toyota menampilkan pelbagai rekaan terkini termasuk titik graviti yang rendah. Dan seperti yang diketahui sebelum ini, Ativa merupakan versi untuk Perodua berasaskan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize yang telah pun dilancarkan dalam pasaran Jepun pada penghujung 2019.

Sebelum ini, kami telah pun mengupas berkenaan enjin termaju pernah Perodua guna untuk versi produksi iaitu enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang anda akan jumpa dalam perut Ativa kelak. Manakala dalam artikel ini, kami akan mengupas lebih mendalam berkenaan platform DNGA yang menjadi asas kepada model paling canggih yang akan anda lihat dalam bilik pameran Perodua tidak lama lagi.

Platform modular dan bersedia untuk CASE (connected/terhubung, autonomous/berautonomi, shared/berkongsi dan electric/elektrik)

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Seperti platform moden untuk model-model global buat masa sekarang, DNGA dihasilkan dengan memenuhi pelbagai kriteria, termasuk ia sudah bersedia untuk dipadankan dengan teknologi autonomi (pemanduan sendiri) dan sistem terhubung serta teknologi pacuan elektrifikasi.

Untuk mengubahsuai platform tradisional Daihatsu bagi membolehkan ia menerima pemadanan untuk CASE akan menyebabkan peningkatan kos dan juga memakan masa yang lama. Jadi langkah Daihatsu bagi menggunakan platform DNGA ini adalah solusi baharu yang amat diperlukan “bagi melancarkan produk dengan pantas dalam pasaran penting baru muncul, di mana pesaingan dijangka akan menjadi sangat sukar,” menurut jenama Jepun tersebut.

Selepas ini, platform DNGA ini akan digunakan untuk kesemua barisan model Daihatsu. Dengan binaan modular (dimensi seperti jarak roda, panjang dan lebar boleh diubah dengan mudah), platform ini bukan sahaja akan digunakan pada model-model segmen-A (DNGA-A) dan segmen-B (DNGA-B) Daihatsu pada pasaran antarabangsa, malah ia turut akan dijadikan asas kepada model-model Kei-Car Daihatsu di Jepun.

Pembangunan model baharu yang lebih cepat dan murah

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Daihatsu sememangnya terkenal sebagai pengeluar kereta kompak yang dihasilkan dengan “perincian yang paling teliti”. Dengan penggunaan platform modular baharu ini membolehkan kebanyakkan model mereka tak kira dari kelas mana berkongsi komponen sebanyak yang boleh, bagi membolehkan mereka menghasilkan komponen berkualiti tinggi tetapi dengan harga lebih rendah, serta memberikan keberkesanan pembangunan lebih baik.

Komponen utama seperti suspensi, badan bawah, enjin, transmisi dan tempat duduk semuanya akan dihasilkan dari awal serta dikemaskini bersama. Menurut Daihatsu, tahap modular platform DNGA ini membolehkan perkongsian komponen antara model mencapai 75% manakala tempoh pembangunan sesebuah model pula boleh dipendekkan sehingga 50%. Pelaburan modal untuk pembangunan dan pelancaran produk baharu juga dapat dikurangkan sebanyak 30%.

Perkara ini dapat mengurangkan kos operasi secara signifikant dalam jangka masa panjang, dan segala penjimatan yang dibuat boleh digunakan bagi menambah lebih kelengkapan pada kereta berkenaan, memberikan lebih manfaat kepada pelanggan.

Tempoh pembangunan yang lebih pendek juga membolehkan mereka menawarkan model yang sentiasa segar, lebih terkini walaupun trend pasaran sentiasa berubah. Dengan platform baharu ini, Daihatsu telah merancang untuk menghasilkan model dalam 15 bentuk badan berbeza, 21 model baharu sehingga penghujung 2025, dengan sasaran jumlah produksi tahunan 2.5 juta kenderaan.

Sasaran: menghasilkan kestabilan dan keselesaan terbaik dalam kelasnya

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Pembangunan platform baharu Daihatsu ini dimulakan dari suspensi, menampikan geometri yang mengutamakan kestabilan dan keselesaan, mengoptimakan kelakuan kenderaan dan respon pada pelbagai bentuk permukaan jalan. Jumlah keseluruhan komponen yang bergerak juga dikurangkan bagi menghasilkan casis yang lebih ringan.

Untuk Rocky dan Raize, ia dipadankan dengan suspensi topang McPherson pada bahagian depan dan torsion beam pada baahgian belakang – kedua-duanya baru dibangunkan sepenuhnya. Pembangunan suspensi tersebut dimulakan dari awal dengan mengoptimakan poin-poin cagak, mengurangkan berat, tetapi dalam masa yang sama menawarkan kestabilan pemanduan bersama olengan badan yang minima, dakwa Daihatsu.

Getaran yang dirasai pada permukaan beralun juga dapat dineutralkan lebih cepat dalam talaan ini. Daihatsu turut menyatakan bahawa tahap bunyi, getaran dan gangguan (NVH) pada platform ini akan sentiasa berada dalam standard kelasnya bagi tempoh 10-tahun akan datang.

Lebih ringan tetapi lebih selamat – ketegaran casis dipertingkat, guna gandingan pelbagai logam ultra tegangan tinggi

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikanPerodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Perubahan terbesar yang dibuat oleh Daihatsu dalam penghasilan rekaan casis baharu ini adalah menghubungkan titik aplikasi kekuatan hadapan dan belakang kenderaan bagi memberikan agihan kekuatan yang lebih lancar pada kerangka. Ini membolehkan keselamatan ketika berlanggar, prestasi dan kekuatan badan bawah kenderaan menjadi lebih baik, sekaligus menjadikan casis berkenaan lebih tegar dan ringan dari sebelum ini.

Ambil contoh Daihatsu Tanto generasi baharu. Dengan menggunakan platform DNGA sebagai asas, ia kini 30% lebih tegar dan 80 kg lebih ringan dari model generasi sebelumnya.

Badan bahagian atas DNGA ini juga kini menggunakan plat logam beketegangan tinggi yang lebih tebal (10% lebih dari sebelumnya), memberikan ketagaran dan keselamatan lebih baik. Dalam masa yang sama zon remuk turut telah direka semula bagi meningkatkan keberkesanan ketika menyerap dan pengagihan tenaga kinetik ketika berlanggar.

Daihatsu Rocky telahpun menerima penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP) pada 2019, iaitu model kedua Daihatsu yang berjaya mencapai keputusan sedemikian. Anda boleh lihat video ujian JNCAP tersebut di bawah. Kami jangka Perodua Ativa dengan kelengkapan keselamatan pasif dan aktif yang sama turut bakal menerima markah lima bintang dalam ujian pelanggatan ASEAN NCAP bagi rantau ini.

Seperti yang diumumkan tempoh hari, Ativa bakal dilengkapkan dengan tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik, sistem brek kecemasan automatik (AEB) dan juga Amaran dan Pengelak Keluar Laluan sebagai ciri standard. Model tertinggi Ativa AV pula menerima fungsi tambahan Kawalan Kekal Laluan, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, dan juga Cruise Control Adaptif.

Direka bersama dengan enjin dan transmisi yang baharu dibangunkan.

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Ketika menghasilkan platform DNGA ini, Daihatsu turut membangunkan enjin serta transmisi baharu bagi mencapai peningkatan yang signifikant dalam semua aspek. Rocky dijana oleh enjin tiga-silinder 1.0 liter turbo yang perinciannya boleh anda baca pada PAUTAN INI, dan ia digandingkan dengan kotak gear automatik D-CVT.

Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa platform DNGA dan juga keseluruhan pakej yang akan tampil pada Ativa nanti merupakan satu lonjakan generasi yang cukup besar berbanding model-model sedia ada Perodua, dan mereka kini berada pada landasan yang betul.

Akan ada model lain Perodua yang akan diasaskan dari platform DNGA?

Perodua Ativa D55L – platform DNGA diperincikan

Secara teorinya, kesemua model yang diasaskan dari DNGA tidak kira jenis bentuk badan atau saiz, ia boleh dipasang dalam satu barisan produksi yang sama – ini satu lagi kelebihan sebuah platform yang dihasilkan secara modular. Jadi mengikut fakta ini, Ativa ini hanyalah model permulaan dari Perodua dalam menggunakan platform DNGA, dan akan diikuti dengan model-model lain menggunakan platform sama selepas ini.

Pada 2020, Perodua telah mengeluarkan belanja sebanyak RM500 juta bagi tujuan modenisasi dan juga membesarkan lagi kilang mereka bagi memproduksi Ativa. Jadi dengan pelaburan yang besar berkenaan mustahil Perodua hanya hasilkan Ativa. Ia pastinya akan ‘dikerah’ bagi menghasilkan pulangan semula yang lebih besar.

Selepas ini, berkemungkinan besar Perodua akan memperkenalkan model gantian atau generasi seterusnya untuk MPV Alza. Projek berkenaan sebenarnya sudah pun dimulakan, diberikan kod model D27A serta unit ujian prototaipnya juga sudah kelihatan diuji sebelum ini.

Sebahagian teknologi masa hadapan yang ditunjukkan oleh Perodua pada Kuala Lumpur International Motorshow 2018 seperti sistem bantuan pemanduan keselamatan sudah pun dipadankan pada Ativa. Jadi ada kemungkinan teknologi hibrid yang turut ditunjukkan pada masa berkenaan akan mula muncul pada model baharu Alza berkenaan pula. Malah sekiranya respon baik diterima pada enjin turbo Ativa ini, ia tidak mustahil turut akan digunakan pada MPV berkenaan.

Jadi anda dah nampak bayangan hala tuju Perodua selepas ini dengan platform DNGA berkenaan? Seperti yang kami katakan tadi, Ativa ini hanyalah permulaan dan kita akan terus menerima pelbagai kejutan lagi dari Perodua selepas ini!




GALERI: Daihatsu Rocky 2019

GALERI: Toyota Raize 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required