Dengan jumlah tempahan yang melangkaui jangkaan sebelum dilancarkan tahun lalu, Proton X50 buat masa sekarang masih lagi kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia untuk bulan Februari 2021. Sepanjang bulan lalu, sebanyak 3,345 unit X50 telah diserahkan kepada pelanggan berbanding hanya 1,082 pada Januari.

Ini menjadikan secara keseluruhan sebanyak 8,141 unit X50 telah selamat sampai kepada pemilik masing-masing sehingga akhir bulan lalu. Dengan jumlah tersebut juga, angka serahan dengan lonjakan yang agak besar dapat dilihat kerana pada penghujung Januari, jumlah keseluruhan unit yang diserahkan hanya mencecah 4,809 unit.

Momentum yang dibawa oleh X50 ini juga membolehkan Proton mencatatkan jualan bulanan yang baik pada Februari 2021 iaitu sebanyak 11,873 unit (termasuk domestik dan eksport). Malah prestasi yang ditunjukkan oleh SUV segmen-B tersebut adalah jauh lebih baik dari X70 yang mencatatkan jualan sebanyak 1,475 unit.

Proton X50 telah dilancarkan pada Oktober tahun lalu, dengan tempahan sebanyak 30,000 diterima sebelum berakhir tahun 2020. Ia ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bersama pengecualian cukai jualan bermula RM79,200 hingga RM103,300.

Menurut Proton, mereka akui masa menunggu penghantaran telah meningkat akibat kelewatan yang dialami di barisan pengeluaran, namun dalam masa yang sama mereka masih fokus kepada kualiti. Walau bagimanapun dengan rekod jumlah yang berjaya dihantar bulan lalu, Proton yakin bahawa kadar bekalan X50 semakin mendekati jumlah permintaan.

GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020