Pembuat kenderaan elektrik kegunaan ringan komersial, Ayro telah memperkenalkan sebuah lori kecil yang digelar sebagai Electric Vaccine Vehicle (EVV), dihasilkan bagi membolehkan proses vaksinasi Covid-19 di Amerika Syarikat dilakukan dengan lebih cepat.

EVV berkenaan bukan sahaja boleh menyimpan, menghantar vaksin ke kawasan dengan populasi yang besar pada pelbagai persekitaran dan lokasi, malah ia turut boleh menjadi pusat vaksinasi yang boleh beroperasi menggunakan ruang yang kecil, cukup dengan kawasan kurang dari 100 kaki persegi. Proses pemberian vaksin secara drive-thru juga boleh dilakukan dengan EVV ini.

Dengan saiz kompak juga, ia boleh melalui kawasan yang sempit dan membantu untuk mengurangkan masa menunggu di lokasi pusat agihan utama dengan membawa vaksin berkenaan terus ke kawasan yang diperlukan, terutama di lokasi yang tidak mempunyai akses kepada sistem pengangkutan termasuk di kawasan yang ramai dengan warga emas yang berisiko tinggi dan pendapatan isi rumah rendah.

Ayro EEV ini dilengkapi dengan peralatan gred perubatan sebenar termasuk unit peti sejuk beku dan ruang simpan sejuk bersuhu ultra rendah, pencatat data Bluetooh, dan juga peralatan pemantau suhu yang memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pusat Kawalan Wabak dan Pencegahan (CDC) bagi menyimpan dan mengedar vaksin secara selamat.

Ia juga dibekalkan dengan ruang simpanan gred perubatan on-board, sinki mudah alih, dan juga pelbagai lagi perincian yang direka bagi memenuhi keperluan penyedia perkhidmatan kesihatan bergerak.

Lori kecil ini boleh dibekalkan dengan motor elektrik yang membolehkan ia bergerak dalam kelajuan 25 batu sejam (40.2 km/j) dalam kawasan bandar, dan mencapai kelajuan maksima 35 batu sejam (56.3 km/j) jika diperlukan. Ia tidak memerlukan fasiliti mengecaj seperti kereta elektrik lain, cukup sekadar palam standard 110V/20 amp. Satu caj penuh dapat dicapai dalam masa 6-8 jam, membolehkan ia bergerak sejauh 50 batu (80 km).

Menurut Ayro, selain kegunaan ketika Pandemik Covid-19 ini, EVV turut boleh digunakan untuk misi bantuan lain seperti pengedaran suntikan flu tahunan, ujian perubatan, servis makanan dan lain-lain – dengan pengubahsuaian yang dilakukan untuk seitiap kegunaan. Selain dijual, EVV ini juga ditawarkan secara sewaan untuk syarikat-syarikat yang berminat.