GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

Perodua, walaupun ia dikenali sebagai jenama automotif nasional yang menghasilkan model-model mampu milik, syarikat berkenaan sebenarnya antara jenama yang sudah lama memberikan pilihan SUV dalam barisan model mereka, betul-betul lama sebelum segmen SUV kompak meletup dalam pasaran.

Ya, SUV pertama yang anda boleh beli di bilik pameran Perodua iaitu Kembara sudah pun berada dalam pasaran sejak Ogos 1998, era yang sama Honda CR-V generasi pertama dijual dan sekitar 20 tahun sebelum Proton memperkenalkan SUV pertamanya iaitu X70.

Jadi untuk memperkenalkan Perodua Ativa awal bulan ini, ia bukan satu perkara baharu buat Perodua. Ativa bukan model generasi kedua, dan ia sebenarnya berada pada generasi ketiga SUV kompak lima-tempat duduk selepas Perodua Nautica (Aruz adalah MPV tujuh-tempat duduk dengan gaya SUV) yang dilancarkan pada tahun 2008.

Jadi kami agak bertuah kali ini kerana dapat mempertemukan dua generasi dengan perbezaan teknologi lebih dari 20-tahun, sekaligus memperlihatkan kemajuan yang dapat ditawarkan oleh Perodua dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini.

GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

Berdasarkan laporan dari Bernama yang difailkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana, Perodua Kembara dilancarkan pada 24 Ogos 1998 oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-empat. Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX, GX dan EZ dengan harga atas jalan bermula RM45,898 hingga RM52,276.

Satu fakta yang mungkin anda tak perasan, Kembara adalah model pertama yang mengenakan logo ‘P’ Perodua pada gril hadapan, berbanding model-model sebelum itu yang menggunakan logo haiwan berdasarkan nama masing-masing iaitu Perodua Kancil dan Perodua Rusa.

Walapun dari segi segmen Kembara dan Ativa ini berada dalam kelas yang hampir sama, Kembara sebenarnya merupakan sebuah SUV yang lebih hardcore. Ia diasaskan dari Daihatsu Terios, yang memang benar-benar model lanjutan dari SUV off-road sebenar Daihatsu Rocky dan Feroza, lawan terus kepada Suzuki Jimny.

Kembara pada asalnya dijana oleh enjin 1.3 liter SOHC empat silinder berkuasa 83 hp dan tork maksima 105 Nm, dan kemudian pada 2003 ia ditingkat taraf dengan enjin DVVT (Daihatsu Valve Variable Timing) menghasilkan 86 hp dan tork maksima 120 Nm.

GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

Enjin dan kotak gear Kembara ini diletakkan menegak kebelakang – memacu gandar belakang secara primari, manakala transfer case pada kotak gear SUV berkenaan membolehkan tork turut dihantar ke gandar hadapan bagi memberikannya fungsi sistem 4WD sepenuh masa.

Ia juga dibekalkan dengan sistem center locking differential yang boleh diaktifkan hanya menggunakan butang dalam kabin, membolehkan roda hadapan dan belakang bergerak dalam kelajuan yang sama bagi memberikan cengkaman yang lebih baik ketika dalam laluan off-road yang lasak.

Ketika berada dalam pasaran, Kembara mendapat sambutan yang cukup baik kerana sangat unik dan tidak mempunyai pesaing terus di Malaysia. Malah Perodua turut pernah membawa menganjurkan Ekspedisi Kembara Trans Borneo pada tahun 1998 untuk membuktikan kebolehannya untuk meredah laluan-laluan yang lasak.

Secara keseluruhan, Kembara semamangnya antara model yang berjaya dari Perodua. Pengeluaran model ini dihentikan pada tahun 2007 bagi digantikan dengan Perodua Nautica selepas itu. Namun, walaupun Nautica adalah versi lebih baik dengan enjin yang lebih berkuasa, saiz lebih besar dan masih diberikan sistem 4WD, ia adalah model CBU yang perlu dijual dengan harga lebih mahal. Ditambah dengan krisis ekonomi pada tahun ia dilancarkan iaitu 2008, Nautica hanya bertahan selama setahun dalam pasaran.

GALERI: Perodua Ativa vs Perodua Kembara – beza teknologi selama dua dekad SUV kompak dari Rawang

Dan sekarang, ketika segmen SUV kompak benar-benar ‘panas’ dalam pasaran, Perodua tampil dengan alternatif dari mereka – Perodua Ativa 2021. Segmen SUV kompak buat masa sekarang ini masih lagi boleh dikatakan pada kelas yang bukan mampu milik. Bagi jenama import misalnya seperti Kia Seltos, Hyundai Kona, Mazda CX-3 dan model bukan nasional paling popular iaitu Honda HR-V masih lagi dijual pada harga lebih RM100k.

Manakala pilihan dari Proton pula iaitu X50, ia bermula dengan model paling ‘kosong’ Standard dijual pada harga RM79k, manakala model paling lengkap Flagship pula mencecah RM103k.Jadi, masih lagi ramai yang berminat untuk beralih kepada SUV kompak tetapi masih belum mencapai julat bajet mampu milik.

Oleh itu, Ativa yang berada dalam kelas tersendiri dan tak sama dengan pilihan SUV kompak lain ini sudah tentu dapat mengisi ruang berkenaan – ia mungkin tidak sebesar SUV dengan saiz segmen-B penuh, dan tidak dipadankan dengan penjana yang sangat berkuasa, namun harga yang ditawarkan benar-benar menarik.

Malah ada berberapa perincian yang dipadankan pada Ativa ini masih lagi tidak ada pada model-model yang lebih mahal daripadanya! Ini antara resipi klasik yang Perodua sajikan sehingga mereka benar-benar mempunyai pelanggan yang begitu setia.

Ativa bukan SUV seperti Kembara yang memang disasarkan untuk penggunaan off-road, sebaliknya ia adalah SUV gaya hidup terkini yang hasilkan dengan rupa lasak tetapi habitat sebenarnya adalah dalam ‘hutan batu’ yang moden. Jadi, ia tidak menerima sistem 4WD mahupun AWD.

Ia adalah model pertama Perodua yang dipadankan dengan enjin turbo, iaitu unit 1KR-VET 1.0 liter tiga silinder berkuasa 97 hp dan tork maksima 140 Nm. Buat pertama kali juga Perodua memperkenalkan kotak gear CVT pada modelnya menerusi Ativa ini, dan unit D-CVT untuk memacu roda hadapan tersebut bukan seperti CVT biasa – pencerahan teknikalnya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

Dari segi perbezaan saiz antara dua model ini, dari gambar pun anda boleh lihat Ativa jelas lebih besar berbanding Kembara. Jika dilihat pada angka atas kertas, Ativa dihasilkan dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,525 mm. Manakala untuk Kembara pula, ia mempunyai dimensi 3,890 mm panjang, 1,555 mm lebar, 1,715 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,420 mm.

Namun anda boleh lihat dengan jelas perbezaan karekter antara kedua-duanya – Kembara walaupun dengan rim yang lebih kecil nampak lebih lasak dengan tayar yang lebih tebal bersama jarak kelegaan lebih tinggi untuk mengharungi laluan lasak, berbanding Ativa yang nampak lebih moden untuk kegunaan bandar. Malah, Kembara turut mempunyai ruang simpanan tayar gantian pada pintu hatch belakang seperti SUV ikonik Mitsubishi Pajero yang menambah lagi markah penampilan sebuah kereta yang lasak.

Dengan saiz yang lebih besar membolehkan Ativa menyediakan ruang dalaman yang lebih luas. Dan dengan ketiadaan sistem pacuan semua roda, serta platform DNGA yang jauh lebih moden, Ativa dapat dihasilkan lebih ringan dengan hanya 1,035 kg walaupun sarat dengan pelbagai kelengkapan moden, berbanding 1.1 tan pada Kembara. Faktor ini sudah tentu akan memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien serta pengendalian lebih baik di atas jalan raya.

Pada bahagian kabin juga anda boleh lihat bagaimana beza jurang 20 tahun dari segi rekaan dan kelengkapan antara dua model ini. Kembara tampil dengan rupa tipikal sebuah model 90’an dengan panel paparan meter analog, roda stereng tanpa beg udara (dua beg udara diberikan pada model kemaskini kemudiannya), panel kawalan pendingin hawa analog dengan pemain stereo 1-Din di bawahnya dan juga tombol gear automatik klasik yang besar.

Anda juga boleh lihat suis tekan untuk sistem differential lock 4WD untuk Kembara ini direka ringkas terletak pada papan pemuka, betul-betul sebelah kanan kolum stereng.

Manakala pada Ativa, ia nampak lebih canggih dari sebuah pesawat pada era 90’an, yang mana rekaan dan teknologi yang ada padanya mungkin kita hanya boleh bayangkan pada sebuah kapal angkasa pada zaman berkenaan. Ia tampil dengan panel instrumen digital sepenuhnya, roda stereng yang penuh dengan pelbagai butang kawalan, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh sembilan-inci, butang penghidup enjin, konsol terowong tinggi memudahkan tombol gear dicapai dan pelbagai lagi.

Ativa juga menerima sistem keselamatan yang sangat tinggi di mana ia diberikan enam-beg udara standard untuk semua varian, sistem-sistem keselamatan pasif (kawalan kestabilan elektronik, ABS, EBD) dan juga sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta dan sebagainya.

Walaupun Ativa dilengkapi pelbagai banyak teknologi canggih, harga yang ditawarkan pada Ativa ini sebenarnya lebih bernilai dari Kembara. Ya, yang kita nampak Ativa dijual pada harga bermula RM61,500 hingga RM72,000 bergantung pada varian.

Namun dengan menggunakan kalkulator inflasi (sehingga Januari 2021) yang disediakan oleh Jabatan Statistik Malaysia di laman sesawang mereka, harga yang ditawarkan untuk Kembara pada tahun 2008 dahulu adalah setara dengan nilai RM45,898 sehingga RM82,466 pada masa sekarang!

GALERI:Perodua Kembara

GALERI:Perodua Ativa

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required