Hyundai Palisade merupakan SUV paling besar dalam barisan model Hyundai buat masa sekarang, dan ia adalah ayam tambatan jenama Korea tersebut untuk berhadapan dengan model-model SUV gergasi pada pasaran Amerika Syarikat, dilancarkan di sana pada tahun 2018. Tapi secara tiba-tiba, hari ini Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa Palisade bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, bersama Kona facelift!

Palisade dihasilkan dengan dimensi 4,981 mm panjang, 1,976 mm lebar, 1,750 mm tinggi dan juga jarak roda sejauh 2,900 mm. Bagi memudahkan anda membayangkan saiz SUV ini, ia hampir sama besar dengan Audi Q7, namun model dari Jerman berkenaan masih 71 mm lebih panjang bersama jarak roda 94 mm lebih jauh.

HSDM turut mengesahkan bahawa Palisade pasaran Malaysia bakal dijana oleh enjin kitaran Atkinson 3.8 liter V6 dengan sistem suntikan terus, berkuasa 291 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 355 Nm. Ia akan digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik dengan torque converter pelbagai lapisan, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem HTRAC AWD.

Tiada perincian tambahan lain yang diumumkan oleh HSDM berkenaan spesifikasi Palisade untuk pasaran Malaysia ini. Namun boleh kita jangka ia bakal disertakan dengan paparan instrumen digital sepenuhnya 12.3-inci TFT serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin lapan-inci yang disokong Apple CarPlay dan Android Auto. Di Amerika, Palisade turut diberikan opsyen skrin 10.25-inci untuk infotainmen.

Antara ciri unik lain pada Palisade ini adalah penukar gear tanpa tombol shift-by-wire dengan park logic yang akan secara automatik mengaktifkan gear ‘P’ apabila enjin dimatikan. Hyundai juga mendakwa bahawa rekaan liang pendingin hawa pada SUV ini adalah yang pertama seumpanya di dunia, memberikan hembusan udara yang fokus, disebarkan sebahagian, atau disebarkan sepenuhnya ke penumpang belakang.

Kabin Palisade turut dibekalkan dengan tujuh port USB, 16 pemegang cawan, sistem interkom dalam kereta Driver Talk (memberikan komunikasi terus dari pemandu kepada penumpang belakang), dan juga Rear Sleep Mode – sistem yang akan memadamkan fungsi pembesar suara pada kabin belakang bagi membolehkan penumpang tidur dengan lena.

Jika anda mahukan sebuah kenderaan tujuh-tempat duduk dalam masa yang sama mahukan ruang kargo yang besar, Palisade adalah model yang perlu dipertimbangkan. Ini kerana dengan kesemua tempat duduk baris kedua dan ketiga tidak dilipat, Palisade masih mempunyai ruang simpanan dengan kapasiti 510 liter. Sekiranya tempat duduk paling belakang dilipat, ia bakal memberikan ruang kargo sebesar 1,297 liter.

Manakala untuk SUV segmen-B Hyundai Kona facelift, model yang dikemaskini tersebut bukan sahaja akan menampilkan rupa yang lebih segar, malah ia turut akan perubahan dari segi mekanikal.

Bagi model 2.0L NA, ia akan dijana oleh enjin kitaran Atkinson Smartstream, berkuasa 149 PS dan tork maksima 180 Nm. Enjin tersebut akan menerima kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT) baharu Hyundai, iaitu kotak gear CVT yang beroperasi menggunakan rantai berbanding tali sawat.

Walau bagaimanapun, HSDM tidak menyentuh berkenaan model yang dijana oleh enjin 1.6 liter turbo. Enjin berkenaan masih ditawarkan untuk Kona versi sedia ada bagi model tertinggi, menghasilkan 177 PS/265 Nm digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan DCT – membolehkan model ini memecut lebih laju dari Proton X50, mencatatkan masa 7.7 saat untuk pecutan 0-100 km/j.

Untuk rupa, Kona bakal tampil dengan muka baharu yang lebih sporty, bahagian dalaman yang dipertingkat bersama liang pendingin hawa dan pembesar suara disentuh semula, serta lampu suasana baharu yang turut memberikan cahaya pada bahagian kaki. HSDM mengesahkan bahawa Kona turut akan ditawarkan dengan opsyen warna, material dan kemasan baharu untuk bahagian dalaman.