Mercedes-Benz EQS – bahagian dalaman, MBUX Hyperscreen 141 cm diperincikan sebelum dilancar

Mercedes-Benz EQS – bahagian dalaman, MBUX Hyperscreen 141 cm diperincikan sebelum dilancar

Sedan mewah berkuasa elektrik sepenuhnya, Mercedes-Benz EQS hanya akan didedahkan pada lewat tahun ini. Namun sedikit demi sedikit, Mercedes-Benz mendedahkan berberapa perinciannya. Jika Januari lalu Hyperscren untuk sistem infotainmen MBUX untuk model ini telah diperkenalkan, kini lebih informasi berkenaan skrin tersebut bersama perincian bahagian dalaman yang lain turut didedahkan.

Sedan ini akan diproduksi di fasiliti Factory 56 Mercedes-Benz di Sindelfingen dan akan dilancarkan di Eropah pada Ogos nanti. Menurut jenama premium dari Jerman berkenaan, bahagian dalam EQS tersebut “direka untuk semua deria,” iaitu visual, pendengaran, olfaktori dan haptik.

Dari segi visual, tumpuan utama sudah tentulah Hyperscreen MBUX yang merentangi keseluruhan papan pemuka sedan ini dengan gabungan tiga skrin di bawah kaca aluminium silikat tahan calar berukuran 141 cm. Tiga skrin tersebut termasuk skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen pemandu, 17.7-inci untuk skrin tengah dan juga satu lagi skrin 12.3-inci untuk penumpang hadapan. Walau bagaimanapun, skrin ini hanya akan ditawarkan secara opsyen dan bukan ciri standard.

Panel OLED digunakan untuk skrin tengah dan juga penumpang hadapan, dan ia turut memberikan tindak balas haptik yang dihasilkan menerusi actuator (lapan pada paparan tengah, empat pada paparan penumpang hadapan). Fungsi ini membantu untuk memberikan rasa seakan menggunakan suis atau butang mekanikal biasa ketika pengguna berinteraksi dengan skrin sesentuh tersebut.

Mercedes-Benz EQS – bahagian dalaman, MBUX Hyperscreen 141 cm diperincikan sebelum dilancar

Untuk varian asas EQS tanpa Hyperscreen MBUX ini akan diberikan konfigurasi skrin seakan sama seperti sedan S-Class generasi baharu – tampil dengan skrin tengah bentangan potrait bersaiz 12.8-inci tanpa skrin penumpang hadapan, manakala pemandu menerima skrin berdiri sendiri 12.3 inci untuk paparan instrumen.

Model lebih rendah ini juga menerima rekaan konsol tengah yang berbeza, bersambung terus dengan skrin di atasnya serta menampilkan butang-butang kawalan untuk mod pemanduan, kawalan media serta fungsi lain. Dengan tiadanya terowong untuk transmisi di tengah, bahagian berkenaan dapat diberikan ruang storan yang lebih banyak.

Namun tak kira untuk model dengan atau tanpa Hyperscreen, papan pemuka EQS diberikan corong penghawa dingin tengah yang nipis dan nampak seakan bersambung terus dengan kemasan pada pintu. Dengan gandingan penggunaan material-material premium dan juga lampu suasana, kabin EQS ini benar-benar nampak futuristik.

EQS juga hadir dengan dua rekaan roda stereng berbeza – bulat sepenuhnya dan rata di bawah – bergantung pakej dalaman yang dipilih pembeli, dengan pelbagai rekaan kemasan boleh dipilih bagi model tanpa Hyperscreen MBUX.

Bagi sistem MBUX pula seperti yang sudah didedahkan sebelum ini, ia berfungsi dengan sistem kecerdasan bantuan (A.I) yang terkini membolehkan pembantu digital “Hey, Mercedes” mengenal lebih banyak arahan lisan serta diberikan pendekatan “zero-layer”, di mana fungsi yang selalu digunakan akan sentiasa dipaparkan pada skrin Home, dan pengguna tidak perlu mencari semula fungsi berkenaan atau menggunakan arahan suara.

Sebagai sebuah sedan mewah dari keluarga S-Class, sudah tentu keselesaan bahagian kabin belakang juga amat dititikberatkan. Bahagian berkenaan diberikan pakej MBUX High-End Rear Seat Entertainment Plus secara opsyen. Menerusi pakej tersebut, ia akan ditambah dengan dua skrin 11.6-inci di belakang, bersama kawalan sentuhan di belakang tempat duduk hadapan dan pelanggan juga boleh memilih tablet sebenar bagi menggunakannya dengan lebih mudah.

Manakala untuk deria olfaktori (bau), Mercedes-Benz memperkenalkan opsyen pakej Energizing Air Control Plus. Ia termasuk menggunakan penuras HEPA dengan saiz hampir sama dengan kertas A2, diletakkan di bawah bonet hadapan. Penuras berkenaan mampu untuk memerangkap partikel sekecil PM 2.5 hingga PM 0.3 dan ia 99.65% berkesan dengan “OFI Quality Seal ZG 250-1” yang diberikan oleh Institut Penyelidikan dan Ujian Austria (OFI).

Mercedes-Benz EQS – bahagian dalaman, MBUX Hyperscreen 141 cm diperincikan sebelum dilancar

Manakala pakej Air-Balance pula akan hadir bersama haruman baharu yang dihasilkan secara spesfik untuk EQS – No.6 Mod Linen – di mana ia adalah dikaitkan dengan sejarah model “Mercédès Electrique” yang menyertai barisan model pada tahun 1906.

Akhir sekali untuk pendengaran – EQS akan memainkan bunyi untuk ‘menyapa’ pemandu dan/atau penumpang apabila mereka menghampiri kereta berkenaan, manakala dalam kabin pula ia diberikan sistem bunyi Burmester dengan 15-pembesar suara. Sistem Energizing Comfort yang dihubungkan kepada sistem bunyi pada EQS ini pula menampilkan tiga program Energizing Nature – Forest Glade, Sounds of the Sea dan Summer Rain.

Program-program ini dibangunkan bersama ekologis akustik Gordon Hempton, dan ia dihasilkan bagi mewujudkan persekitaran lebih tenang ketika bergerak. Jika anda berhenti rehat di kawasan servis atau stesen pengecaj, anda turut boleh memilih program Power Nap, yang akan melaras tempat duduk pemandu dan akan menaiikan kesemua tingkap serta menurunkan pelindung bagi memudahkan anda tidur dan berehat.

EQS merupakan kereta pertama Mercedes-Benz yang dihasilkan menerusi platform baharu Electric Vehicle Architecture (EVA). Perincian-perician lain mungkin akan didedahkan dalam masa berberapa minggu dari sekarang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required