Ini berita untuk pemilik-pemilik Proton X50 – anda kini boleh mendapatkan pengecas telefon pintar tanpa wayar untuk kereta anda yang ditawarkan sebagai aksesori asli oleh Proton.

Pengecas berkenaan akan dipasang secara retrofit pada X50 anda dan berfungsi dengan standard Qi, memberikan output kuasa 10 watt. Ia terdiri dari satu pad yang akan dipasang pada bahagian bawah panel kawalan pendingin hawa, mengambil kuasa dari soket 12-volt.

Dengan pengecas ini, anda tidak perlu lagi wayar untuk mengecas telefon bimbit, sebaliknya hanya letakkan peranti berkenaan di atas pad pengecas tersebut. Harga yang yang ditawarkan untuk pengecas tanpa wayar ini adalah RM450 termasuk pemasangan.

Aksesori ini juga dijual secara berasingan dan tidak termasuk dalam pakej aksesori Urban dan Utility yang telah pun ditawarkan sebelum ini.

Ia juga adalah aksesori asli Proton, jadi ia tidak akan menjejaskan sebarang waranti, dan aksesori ini sendiri diberikan waranti selama setahun. Pengecas telefon pintar tanpa wayar ini boleh dipasang pada semua varian X50 termasuk dari varian paling rendah 1.5T Standard sehingga 1.5 TGDi Flagship.

Jika anda berminat, tempahannya sudah pun dibuka dan boleh dibuat di mana-mana pengedar sah Proton.