Ora Punk Cat – klon Volkswagen Beetle klasik berkuasa elektrik sepenuhnya dari Great Wall Motors

Ora Punk Cat – klon Volkswagen Beetle klasik berkuasa elektrik sepenuhnya dari Great Wall Motors

Ora, subjenama dari pengeluar automotif China, Great Wall Motors (GWM) sebelum ini telah pun memperkenalkan kereta elektrik sepenuhnya (EV) kompak yang comel digelar Ora Good Cat. Dan terkini, jenama berkenaan akan muncul dengan satu lagi EV kompak yang dihasilkan dengan rekaan berkonsep retro dan radikal, diberi nama Ora Punk Cat.

Set gambar yang disiarkan ini sebenarnya hanyalah sebagai teaser, dan pendedahan sepenuhnya model berkenaan akan dibuat di Auto Shanghai 2021 yang bakal berlangsung minggu ini. Sekali tengok, tak susah kita nak tahu dari mana asal usul rekaan Ora Punk Cat ini. Dengan bentuk yang begitu ikonik, ia adalah pasti ‘diinspirasi’ dari Volkswagen Beetle klasik.

Selain dari bentuk badannya yang seakan kumbang, Punk Cat juga hadir dengan lampu hadapan bulat dengan kemasan krom sekeliling, lampu belakang oval, bampar hadapan dan belakang dalam kemasan krom serta warna badan tiga-tona menambah lagi ‘perisa’ Volkswagen Beetle asli.

Anda mungkin rasa Punk Cat ini tak cukup Beetle kerana menampilkan badan empat pintu, berbeza dengan kereta ikonik asli Jerman berkenaan tampil dengan badan dua pintu. Tapi tahukah anda pada tahun 1949 Beetle sebenarnya pernah dihasilkan sebagai model cabriolet empat-pintu untuk kegunaan polis dan bomba di Jerman?

Ora Punk Cat – klon Volkswagen Beetle klasik berkuasa elektrik sepenuhnya dari Great Wall Motors

Tema yang sama turut dibawa pada kabin Ora Punk Cat ini. Ia menampilkan tema warna yang sama dengan sebelah luar, seakan Beetle klasik yang menampilkan warna badan dalam kabin kerana tidak dibalut dengan fabrik upholsteri. Tambah menarik, Punk Cat juga diberikan roda stereng yang nampak sama dengan bentuk roda stereng VW Beetle klasik!

Selain dari itu, kabin Punk Cat ini juga diberikan liang udara pendingin hawa bulat bersama rekaan turbin, paparan instrumen berbentuk bulat seperti Beetle asli tetapi hadir dalam bentuk digital, serta skrin infotainmen bersaiz besar pada bahagian tengah.

Tempat duduk Punk Cat ini mungkin diberikan larasan elektrik berdasarkan suis-suis kawalan yang terletak pada sebelah sisi, tetapi ia turut diberikan rekaan retro menerusi jalur-jalur jahitan serta kemasan tiub berwarna merah disekelilingnya.

Masih tiada sebarang perincian teknikal didedahkan untuk Punk Cat ini, namum boleh dijangka ia dihasilkan dengan asas yang sama seperti Good Cat. Bagi model berkenaan, ia menggunakan platform Lemon GWM, ditawarkan dengan pilihan tiga kapasiti bateri iaitu 47.8 kWj, 45.99 kWj dan 59.1 kWj.

Kesemua versi bateri tersebut hadir dengan motor elektrik berkuasa 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork maksima 210 Nm, yang diletakkan pada bahagian hadapan dan memacu roda hadapan. Bateri dengan kapasiti paling besar membolehkan kereta berkenaan bergerak dalam jarak 501 km berdasarkan ujian NEDC.

Ia memerlukan masa lapan jam untuk mendapatkan caj penuh mengunakan pengecaj on-bord 6.6-kW. Manakala dengan pengecaj cepat DC, bateri tersebut dapat diisi dari 30-80% dalam masa hanya 30 minit.

Nama Punk Cat ini dipilih menerusi undian dari dari orang ramai dan baru diumumkan semalam (18 April 2021). Undian yang dibuat secara atas talian berkenaan menyaksikan nama Punk Cat ini dipilih secara majoriti oleh warga net di China berbanding lima nama lain termasuk Spirit Cat, Noble Cat, Posh Cat, Royal Cat dan Bridge Cat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required