Kotak bumbung (roof box) adalah salah satu peralatan yang popular untuk mereka yang mahukan ruang kargo tambahan. Namun aksesori ini akan menyebabkan berberapa kesan sampingan dan salah satunya ia akan menjadikan kereta anda kurang stabil kerana ia secara tidak langsung menjadikan bumbung kereta anda seakan lebih tinggi.
Oleh itu, Porsche menerusi divisi Porsche Tequiment kini telah pun memperkenalkan kotak bumbung yang dikenali sebagai Performance Roof Box, dan seperti namanya, ia mampu mengekalkan kestabilan kereta Porsche anda sehingga kelajuan mencecah 200 km/j!
Kotak bumbung ini telah direka dengan kerjasama Studio F.A Porsche, dan ia akan mula dijual secara rasmi di fasiliti-fasiliti Porsche Center bermula Mei 2021.
Tidak seperti kotak bumbung biasa, Performance Roof Box ini direka dengan prinsip rekaan ‘fungsi mengikut bentuk’. Rekaan yang aerodinamik ditampil pada kotak bumbung ini direalisasikan dalam bentuk model tanah liat 1:1 terlebih dahulu, kemudian diuji menggunakan terowong udara bagi memperhalusi lagi tahap aerodinamiknya.
“Program ujian untuk kotak bumbung ini adalah sangat cerewet. Dalam menjadikannya sebuah produk yang matang, ia telah dibawa pandu pada litar ujian untuk berberapa ribu kilometer sebagai sebahagian dari keseluruhan ujian kenderaan,” kata pengarah Porsche Tequipment, Jochen Schmid. Ujian tersebut turut merangkumi ujian karekteristik aerodinamik dan pengendalian.
Ujian dinamik pemanduan telah dibuat di Weissach, dan ia difokuskan terhadap kebolehkawalan kenderaan yang telah dipasangkan dengan kotak bumbung tersebut dan dipandu pada kelajuan tinggi. Kotak tersebut haruslah mampu bertahan dalam situasi yang mencabar dalam litar yang lasak. Aspek aerodinamik dan bunyi juga dibangunkan di terowong angin di Weissach.
Menurut Porsche, Performance Roof Box ini boleh dipadankan dengan mudah menerusi sistem pemasangan cepat. Ia mempunyai kapasiti menyimpan 480 liter dan boleh dibuka menerusi kedua-dua sisi, membolehkan anda meletak/mengambil semula barang dengan mudah.
“Sebagai tambahan dari kebolehannya bertahan dalam kelajuan yang telah ditetapkan, pilihan individualisasi pada kotak bumbung ini juga unik. Seperti kotak, bilah sisinya ditawarkan dalam High-Gloss Black dan tiga lagi pilihan warna popular dari barisan model kami: Dolomite Silver Metallic, Carrara White Metallic dan Volcano Grey Metallic.” kata naib presiden Porsche untuk indidualisasi dan klasik, Alexander Fabig.
Porsche turut menyatakan bahawa bilah sisi berkenaan juga boleh ditempah dengan hanya lapisan cat asas, atau dengan cat dalam warna individu setiap kereta.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.