Seperti yang ramai sudah tahu, kereta elektrik tidak memerlukan kotak gear kerana tork yang dibekalkan bukan sahaja tinggi, malah ia tersedia bermula dari 0 rpm, tidak seperti enjin pembakaran dalaman di mana tork maksima hanya akan tiba pada takat RPM tertentu.

Tapi ini pelik sikit – jenama dari China iaitu BYD telah menghasilkan sedan e3 yang dijana oleh elektrik sepenuhnya, tetapi mempunyai kotak gear manual lengkap dengan pedal klac! Namun sebenarnya ia bukanlah kotak gear manual sebenar, sebaliknya ia hanya akan memberikan simulasi seakan kotak gear manual pada kereta petrol kerana versi baharu ini dihasilkan khas untuk kegunaan sekolah memandu.

BYD e3 dengan tuil gear manual ini dikelaskan sebagai kenderaan komersial serta tidak dijual kepada orang awam, dan ia diberikan warna badan perak-merah-kuning yang sememangnya warna untuk kereta sekolah memandu di negara berkenaan.

Selain dari tuil gear manual dan pedal klac, kereta berkenaan juga dibekalkan dengan kelengkapan kereta sekolah memandu yang lain seperti pedal brek tambahan ada ruang kaki penumpang hadapan dan suis hon tambahan bagi digunakan oleh tenaga pengajar, serta cermin pandang sisi tambahan.

Menurut CarNewsChina.com, teknologi ini sebenarnya telah digunakan oleh satu lagi jenama domestik iaitu Chery menerusi model eQ2 tahun lalu, yang turut digunakan oleh sekolah memandu.

Manakala dalam laporan philkotse.com pula menyatakan bahawa kereta elektrik sekolah memandu dengan kotak gear manual ini dihasilkan kerana kereta sekolah memandu biasanya banyak berada dalam keadaan melahu dan ia menyebabkan pencemaran yang teruk, dalam masa yang sama rakyat China masih lagi ramai yang berminat untuk mengambil lesen memandu kereta dengan kotak gear manual.

BYD e3 ini menerima bateri lithium-ion dengan kapasiti 38 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 350 km dengan satu caj penuh. Ia bukan sahaja ditawarkan dalam versi manual, malah BYD turut menghasilkan EV e3 sekolah memandu ini dalam versi automatik. Empat mod pemanduan diberikan iaitu Economy, Teaching, Throttle Lock dan juga Sports (hanya untuk versi automatik).