Honda Civic Mugen RR ini dijual pada harga RM529k!

Honda Civic Mugen RR ini dijual pada harga RM529k!

Honda Civic Type R FD2R merupakan samurai terakhir yang menerapkan nilai-nilai asli sebuah Type R Honda iaitu dengan kerangka diperkuat, menggunakan komponen-komponen lebih ringan, serta dijana oleh enjin VTEC yang meraung pada takat rpm tinggi tanpa sebarang induksi dari pengecas turbo.

Namun antara semua Type R FD2, ada 300 unit yang lebih istimewa dari biasa dihasilkan oleh M-TEC Co.Ltd, atau lebih dikenali dengan jenama Mugen, diasaskan oleh anak Soichiro Honda iaitu Hirotoshi Honda. 300 unit berkenaan tidak dipanggil Honda Civic Type R, tetapi didaftarkan dengan nama Honda Civic Mugen RR.

Dari luar, apa yang nyata berbeza antara Mugen RR dengan Type R FD2 biasa adalah kit penggayaannya – ia hanya ditawarkan dalam warna Milano Red, hadir dengan pelbagai komponen gentian karbon seperti pada gril hadapan dan spoiler boleh laras di belakang serta bampar hadapan dan belakang yang lebih garang.

Manakala bonet hadapan pula bukan sahaja diberikan liang udara tambahan, ia juga sebenarnya unit baharu yang diperbuat dari aluminium. Model khas ini juga tampil dengan overfender dan skirt sisi baharu, serta rim aloi forged 18-inci asli dari Mugen, dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE070 dan menyerlahkan sistem brek yang lebih agresif.

Kelengkapan Mugen juga memenuhi segenap sudut pada bahagian dalaman Civic istimewa ini. Antaranya set tempat duduk hadapan bucket Recaro SP-X Mugen gentian karbon, tombol gear, meter ‘tiga beradik’ di atas pemain audio, paparan meter utama, roda stereng dengan kemasan gentian karbon, lencana-lencana di tempat sepatutnya, tag produksi, dan pelbagai lagi.

Dengan pelbagai komponen aluminium dan juga gentian karbon dipadankan, Civic Mugen RR ini berjaya diringankan sebanyak 165kg berbanding Type R standard (1,260 kg), kini ditimbang hanya 1,095 kg.

Honda Civic Mugen RR ini dijual pada harga RM529k!

Bukan itu sahaja, enjin K20A DOHC i-VTEC pada perut Mugen RR ini juga telah dipertingkat. Mugen memberikan komponen prestasi mereka seperti set induksi dengan kotak udara gentian karbon (disuap dengan udara terus dari corong dihubungkan pada bampar hadapan) set aci sesondol baharu dengan sudut bukaan injap lebih agresif, spring injap lebih keras, sistem ekzos baharu sepenuhnya serta talaan baharu pada kotak komputer.

Ini membolehkan kuasa asal 222 hp/215 Nm pada FD2 Type R biasa melonjak kepada 237 hp pada takat 8,000rpm dan tork maksima 218 Nm untuk Mugen RR ini. Mugen juga menukar kesemua set suspensi asal Civic berkenaan kepada komponen dari mereka sendiri dan kemudian menalanya semula bagi memastikan ia dapat menampung kuasa tambahan yang dibekalkan.

Unit yang anda lihat pada gambar ini adalah unit ke-24 dari 300 unit yang dihasilkan. Ia kini berada di UK dan diiklankan untuk dijual oleh laman torque-gt.co.uk. Sesuai dengan statusnya, unit yang mencatatkan perbatuan 52,946 km pada odometernya ini dijual pada harga £89,990 atau sekitar RM529k!

Sebelum ini ada juga unit Honda Civic Mugen RR ini dibuka untuk jualan di Malaysia dengan harga hampir RM300k. Itu pun ramai yang bising cakap ‘harga Yahudi’. Demo dok kenal bare boh.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • hisyamuddin on Mar 24, 2022 at 1:00 am

    asssalamualaikum. encik nak tanya, di malaysia, mana nak dapatkan mugen rr? ade yang jual ke?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required