Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition dilancarkan di Indonesia

Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition dilancarkan di Indonesia

PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Sales Indonesia (MMKSI) melancarkan model edisi istimewa untuk Xpander dan Xpander Cross pada pasaran berkenaan yang digelar Rockford Fosgate Black Edition. Seperti namanya, kedua-dua model berkenaan diberikan lebih banyak kemasan-kemasan hitam yang membuatkan rupanya lebih garang, bersama sistem bunyi dari Rockford Fosgate.

Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross RF Black Edition ini dihasilkan dari asas varian Sport pasaran berkenaan. Pada bahagian luaran, kemasan-kemasan perak dan krom pada Xpander RF Black Edition seperti gril, kemasan ‘X’ pada muka Dynamic Shield, skid plate bawah bampar hadapan dan belakang, penutup cermin sisi dan juga rim aloi digantikan dengan kemasan hitam dan hitam berkilat.

Manakala untuk Xpander Cross RF Black Edition pula, perincian-perincian hitam yang sama turut diberikan kecuali kemasan ‘X’ pada muka kekal krom, pelindung bawah sisi badan diberikan warna perak gelap, serta kemasan ‘X’ pada pintu tailgate belakang turut diwarnakan hitam berkilat. Kedua-dua model ini turut menerima emblem ‘Rockford Fosgate Black Edition’ di bahagian belakang.

Mitsubishi Xpander dan Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition dilancarkan di Indonesia

Untuk bahagian dalaman pula, Xpander RF Black Edition diberikan kabin hitam sepenuhnya dengan upholsteri fabrik menggantikan kemasan beige pada model biasa. Manakala Xpander Cross RF Black Edition pula diberikan tempat duduk balutan kulit hitam sepenuhnya, berbeza pada model biasa pada pasaran Indonesia yang menampilkan balutan kulit dua tona pada Xpander Cross biasa.

Manakala untuk sistem bunyi Rockford Fosgate, ia terdiri dari pemproses isyarat digital, subwoofer dan juga skrin sesentuh yang memberikan visual dari kamera pemantau sekeliling bersama fungsi rakaman.

Tiada sebarang perubahan mekanikal diberikan di mana kedua-dua model berkenaan terus dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter MIVEC empat-silinder yang menghasilkan 104 PS dan tork maksima 141 Nm. Xpander Cross RF Black Edition hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan, manakala Xpander RF Black Edition turut ditambah dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan.

Seperti juga pada varian-varian standard, Xpander dan Xpander Cross ini dibezakan dengan jarak kelegaan tanah 25 mm lebih tinggi. Xpander Cross juga diberikan pelindung plastik sekeliling badan, bampar hadapan dan belakang lebih tebal serta menerima rel bumbung untuk kelihatan lebih SUV berbanding MPV tujuh-tempat duduk.

Model istimewa ini ditawarkan hanya dalam dua warna badan iaitu Graphite Gray Metallic serta Quartz White Pearl. Mitsubishi Xpander Cross RF Black Edition dijual pada harga Rp 312,650,000 (RM90,649). Xpander RF Black Edition MT pula dijual pada harga Rp 273,900,000 (RM79,414), manakala versi AT dijual pada harga Rp 283,800,000 (RM82,284).

GALERI: Mitsubisi Xpander Rockford Fosgate Black Edition

GALERI: Mitsubisi Xpander Cross Rockford Fosgate Black Edition

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required