VIDEO: Geometry A Pro – sedan elektrik Geely yang dipertingkat dengan kuasa 201 hp, jarak gerak 600 km

VIDEO: Geometry A Pro – sedan elektrik Geely yang dipertingkat dengan kuasa 201 hp, jarak gerak 600 km

Sebelum muncul dengan Zeekr, Geely sudah mempunyai satu lagi jenama sub untuk kereta elektrik mereka iaitu Geometry. Ia diperkenalkan pada tahun 2019 dengan produk yang disasarkan kepada pasaran kebanyakan, sementara Zeekr pula sekarang wujud sebagai penawaran yang lebih premium.

Produk pertama Geometry adalah A, iaitu sedan bentuk biasa yang dulunya dikenali sebagai GE11. Ia dikuasakan oleh motor elektrik 161 hp/250 Nm, dan boleh didapati dalam dua saiz bateri iaitu 51.9 kWh yang boleh memberikan jarak gerak 410 km sekali cas dan 61.9 kWh yang menyediakan jarak 500 km. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 8.8 saat.

Geometry A dipasarkan sebagai sebuah kereta bandar dan juga telah digunakan sebagai teksi mesra alam di China. Walaubagaimanapun, sekarang ia telah dipertingkat lagi supaya dapat memberikan jarak gerak lebih jauh dan dipanggil sebagai Geometry A Pro. Dalam kata ringkas, Geometry A Pro ini adalah versi spesifikasi lebih tinggi berbanding Geometry A.

Menurut Geely UnCut, bateri 70 kWh pada Geometry A Pro dapat menjimatkan 20% ruang meskipun mempunyai kapasiti yang lebih tinggi. Jarak geraknya boleh mencecah 600 km (mengikut kitaran NEDC) sementara motor elektriknya pula lebih berkuasa – 201 hp (150 kW) dan 310 Nm (lebih 50 hp dan 60 Nm). Pecutan 0-100 km/j pula dua saat lebih cepat berbanding Geometry A, iaitu 6.9 saat.

Masa pecutan ini hampir sama seperti sebuah hot hatch tetapi pengacara Geely UnCut memberitahu ini bukan sebab pertama yang akan membuatkan anda atau beliau sendiri suka pada kereta tersebut. Sebaliknya, beliau menyatakan Geometry A Pro adalah sebuah kereta yang menenangkan.

Dalam video itu juga Geometry A Pro diberitahu menggunakan teknologi iBooster terbaru keluaran Bosch. Apabila berada dalam keadaan pemanduan di bandar, sistem tersebut boleh membantu meningkatkan daya tahan bateri sehingga 30% melalui penjanaan semula kuasa.

Bosch mentafsirkan iBooster ini sebagai satu sistem brek elektromekanikal vacuum-independent yang antara kelebihan utamanya adalah menghasilkan tekanan secara pantas untuk jarak henti yang lebih pendek, dan “rasa pedal terbaik” yang boleh dilaras menjadi lebih sporty atau selesa, bergantung kepada pengeluar kenderaan.

Jika melihat dari luar, Geometry A Pro boleh dikenali melalui bumbung serta tiang A, B dan C yang berwarna hitam. Di China, Geometry A masih dijual pada harga bermula 120,000 yuan (RM77,123), sementara Geometry A Pro pula dijual pada harga sekitar 148,000 yuan (RM95,116). Geely juga mempunyai perancangan untuk mengeksport Geometry A pada tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required