Kanada larang penjualan kereta petrol dan diesel baru

Kanada larang penjualan kereta petrol dan diesel baru

Kanada mengumumkan negara itu bakal melarang penjualan kenderaan baru yang menggunakan enjin petrol dan diesel, termasuk trak tugasan ringan, bermula tahun 2035 nanti. Ini menjadikannya negara terkini yang menetapkan tempoh masa untuk melupuskan penggunaan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman.

Hanya kereta dan trak sifar emisi yang akan dijual bermula dari tahun 2035, dan kerajaannya memaklumkan akan memperkenalkan beberapa jenis pelaburan dan peraturan untuk membantu industri automotif untuk melaksanakan perubahan tersebut. Sasaran sementara juga ditetapkan untuk dicapai pada tahun 2025 dan 2030, lapor Reuters.

Menteri Alam Sekitar Kanada, Jonathan Wilkinson berkata, sasaran jualan kenderaan sifar emisi di Kanada akan diselaraskan dengan negara jiran. “Kami akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk menyelaraskan peraturan kecekapan penggunaan bahan api dan kami sedang mengkaji rebat pengguna, stesen pengecas, pengecualian cukai perniagaan dan kos peralihan industri,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Justin Trudeau telah berikrar untuk meletakkan Kanada, negara kedua dengan keluasan terbesar di dunia, ke dalam hala tuju sifar emisi menjelang 2050, dan mengalihkan pengangkutan darat daripada kebergantungan terhadap bahan api fosil menjadi faktor utama untuk mencapai hal itu. Ketika ini, hanya 3.5% kenderaan yang dijual di negara itu ialah kenderaan elektrik.

Langkah Kanada ini menuruti pengumuman yang dibuat oleh UK bahawa negara itu akan melarang penjualan kenderaan baru dengan enjin petrol dan diesel bermula 2030. Pada 2017, Perancis dan Belanda umumkan masing-masing akan memberhentikan penjualan kenderaan dikuasakan bahan api pada 2040 dan 2030. Norway juga umumkan hal sama pada tahun 2016, menjelang tahun 2025.

Di rantau ini, Thailand sedang merancang untuk berbuat demikian dan melarang penjualan kereta dikuasakan bahan api fosil menjelang tahun 2035, sementara Singapura telah mengemaskini tarikh akhirnya kepada 2025, lima tahun lebih awal berbanding jadual asal. Sementara itu, Jepun juga sedang mempertimbangkan untuk menghentikan jualan kereta petrol baru pada pertengahan tahun 2030.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required