VIDEO: Karburator lutsinar – tunjuk bagaimana aliran petrol meluwap, bercampur dengan udara pada venturi

Teori-teori bagaimana enjin berfungsi, biasanya kita boleh lihat menerusi illustrasi dalam buku-buku teks seperti Teknologi Automotif oleh Bahaman Rajuli ketika menuntut di sekolah dan pusat-pusat teknikal.

Untuk sistem mekanikal, bagaimana omboh atau injap bergerak, mungkin kita boleh lihat menerusi model-model alat bantu mengajar untuk melihat dengan lebih real bagaimana komponen-komponen tersebut bekerja. Namun untuk perkara yang melibatkan perkara lebih kompleks seperti aliran udara dan pembakaran, biasanya kita hanya boleh memahaminya dengan lebih mudah menerusi video-video yang dihasilkan secara CGI.

Sebelum ini kita sudah tengok bagaimana saluran Warped Perception di Youtube menghasilkan kepala silinder lutsinar, membolehkan kita lihat sendiri bagaimana ‘swirl’ yang berlaku dalam kebuk pembakaran ketika campuran udara dan bahan api meletup. Dan kini, Destin dari saluran SmarterEveryDay menghasilkan satu lagi komponen lutsinar iaitu karburator, yang menjawab persoalan kita bagaimana keadaan sebenar dalam karburator ketika ia sedang beroperasi!

Memang buat masa sekarang tiada lagi kereta baharu yang hadir dengan sistem karburator. Namun ini adalah asas kepada sistem suntikan bahan api elektronik moden, dan ia telah digunakan secara meluas sebelum pertengahan era 90’an. Jadi secara asasnya, jika anda mahu belajar berkenaan sistem suntikan bahan api, anda terlebih dahulu perlu faham bagaimana karburator ini berfungsi.

VIDEO: Karburator lutsinar – tunjuk bagaimana aliran petrol meluwap, bercampur dengan udara pada venturi

Karburator lutsinar yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi pencetak 3D, menampilkan komponen-komponen utama seperti takung minyak, pelampung, injap choke, injap pendikit, dan yang paling penting dan menjadi asas kepada karburator iaitu venturi serta jet bahan api utama di tengahnya. Bagi menunjukkan bagaimana ia beroperasi, karburator lutsinar tersebut dipasang pada enjin mesin bajak mini yang ringkas.

Menerusi karburator berkenaan, kita boleh lihat bagaimana udara yang melalui ‘leher’ venturi yang lebih sempit menyebabkan vakum yang menyedut bahan api dari takung yang terletak di bawah, dan kemudian ‘pecah’ menjadi wap dan bercampur dengan udara sebelum masuk ke kebuk pembakaran.

Malah, dengan enjin satu silinder pada mesin bajak ini, anda boleh lihat ‘rentak’ sedutan pada tangki kaburator tersebut yang menuruti empat lejang-Otto iaitu ambilan-mampatan-kuasa-ekzos. Cakap banyak tak guna, tontonlah video di atas untuk lihat bagaimana perkara yang selama ini hanya kita bayangkan dalam kepala otak, berlaku depan mata.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required