Dodge siar teaser kereta muscle elektrik – lancar 2024

Dodge siar teaser kereta muscle elektrik – lancar 2024

Dodge, yang sememangnya terkenal dengan pengeluaran kereta muscle telah membuat pengumuman bahawa mereka akan memperkenalkan sebuah kereta elektrik pada tahun 2024 nanti. Ini adalah satu berita yang penting dan syarikat itu turut menyiarkan satu teaser model konsep yang menggunakan logo Fratzog seperti kereta tahun 60-an dan 70-an mereka, tetapi dalam versi yang lebih kontemporari.

Seperti biasa, teaser ini tidak menunjukkan gambar yang jelas, dan perincian selebihnya juga tidak disediakan. Apa yang boleh diketahui cuma kereta ini mempunyai bentuk seperti coupe dan bahagian depan seakan-akan model Charger dan Challenger klasik.

Di sepanjang bahagian depan kereta itu juga terdapat jalur LED sementara lengkungan bumbung membawa kepada bahagian belakang yang menampilkan lampu jenis tersorok serta lagi logo Fratzog. Untuk pengetahuan anda, nama logo itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa maksud dan pereka yang membuatnya sekadar menciptanya secara rawak dan kemudian Dodge bersetuju menggunakannya.

Setakat ini, nama untuk kereta elektrik muscle ini juga masih belum didedah dan ia seperti akan datang dengan tetapan dua motor elektrik dan pacuan semua roda, yang membenarkannya melakukan burnout empat tayar. Sekarang ini, kereta muscle paling berkuasa Dodge adalah Challenger SRT Super Stock, dengan 807 hp, tetapi untuk kereta elektrik muscle ini kita menjangkakan kuasanya adalah lebih lagi.

Dodge siar teaser kereta muscle elektrik – lancar 2024

Anak syarikat Dodge, iaitu Stellantis pula telah mendedahkan dalam siaran akhbar EV Day 2021 mereka bahawa akan terdapat platform khas kereta elektrik yang akan digunakan oleh jenamanya. Secara asasnya ia adalah platform modular, tetapi sudah mempunyai empat versi iaitu STLA Small (jarak gerak sehingga 500 km), STLA Medium (sehingga 700 km), STLA Large (sehingga 800 km) dan STLA Frame (sehingga 800 km). Rangka yang terakhir lebih sesuai untuk kenderaan body-on-frame seperti trak pikap sementara kereta elektrik muscle Dodge pula dijangka menggunakan STLA Large.

Kenapa Dodge mahu mengeluarkan kereta elektrik? Jawapan mereka adalah prestasi. Menurut CEO Dodge, Timothy Kuniskis, “sekiranya pengecas boleh menjadikan Charger lebih pantas, kami akan buat.” Menjelaskan lagi, beliau memberitahu bahawa “pelanggan Dodge membeli satu pengalaman, dan bukannya teknologi.” Selain itu, jenama ini juga sebenarnya menarik banyak pelanggan yang muda dan pelbagai golongan lain.

Kuniskis menambah bahawa golongan millenial ini menyumbang kepada suku populasi penuh Amerika Syarikat dan mempunyai kuasa membeli paling tinggi untuk semua generasi. Paling penting, individu seperti ini juga mempunyai kadar penerimaan EV paling tinggi. Jadi, dengan menggabungkan kuasa membeli dengan kuasa elektrik serta jenama yang sentiasa memberikan fokus kepada kuasa maksimum, Dodge mahu terus membina profail pelanggan hari ini dan menjadi kunci penting untuk membawa pembeli kereta muscle kepada dunia EV.

Dodge siar teaser kereta muscle elektrik – lancar 2024

Dalam tempoh lebih 10 tahun yang lepas, Dodge telah berjaya meningkatkan perkongsian pasaran dengan meningkatkan kuasa kenderaan mereka, dan teknologi EV boleh menambah lagi jumlah ini. Kuniskis mengaku bahawa jurutera syarikat sekarang sudah mencapai had praktikal yang boleh dikerah daripada enjin pembakaran dalaman. “Mereka tahu, dan kami tahu motor elektrik boleh membantu memberi lebih kuasa,” kata beliau.

Oleh sebab itu, demi memenuhi kemahuan pelanggan yang gilakan kuasa tinggi, EV telah dipilih. “Dodge tidak menganggap EV sebagai satu revolusi, tetapi sebaliknya sebagai evolusi biasa untuk kereta muscle moden,” kata Kuniskis.

Meskipun sudah mengumumkan hala tuju EV, Dodge mengatakan mereka “bukan sekadar menjual kereta elektrik,” tetapi lebih kepada “menjual American eMuscle.” Penjenamaan eMuscle itu tidak dijelaskan sepenuhnya tetapi Dodge memberitahu ia akan digunakan untuk “kereta muscle elektrik bateri penuh pertama di dunia.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required