Berkali-kali ketua R&D Hyundai, Albert Biermann menyatakan bahawa barisan kereta prestasi dengan jenama Hyundai N mereka bukanlah jentera yang menyajikan kuasa paling tinggi, ataupun yang mencatatkan masa terpantas di Nürburgring, tetapi mereka lebih menumpukan aspek ‘beat per-minute’ (BPM) atau degupan jantung seminit dengan memberikan jentera yang sangat mengujakan dengan sifat seperti ‘kenakalannya’ ketika mengambil selekoh dan juga keseronokan tukaran gear secara manual.

Selepas menguji sendiri Hyundai i30 N tahun lalu, penulis mengesahkan bahawa Albert Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan di BMW M tidak menipu. Menurut Biermann selepas memperkenalkan Hyundai Elantra N semalam, konsep yang sama turut akan diterapkan pada kereta prestasi elektrik Hyundai N selepas ini, dan ia bakal menjadi jentera yang “kejam di selekoh”.

Dalam laporan Korean Car Blog, Biermann menyatakan bahawa kereta elektrik prestasi Hyundai N selepas ini akan diasaskan dari Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai.

“Platform E-GMP untuk kenderaan elektrik Hyundai Motor Group mempunyai potensi yang luar biasa. Model elektrifikasi pertama Hyundai N akan diasaskan dari E-GMP. Saya tak sabar untuk menunggu hari di mana peminat jenama N akan dihidangkan dengan jentera baru yang kejam di selekoh. Semestinya sangat seronok untuk beraksi di Nürburgring dengan EV E-GMP yang dibangunkan dengan proses kepakaran N,” kata Biermann.

Jadi ia bukan lagi sekadar khabar angin bahawa Hyundai N akan menghasilkan kereta prestasi elektrik berdasarkan apa yang dikatakan oleh bos R&D Hyundai sendiri. Malah kereta elektrik N berkenaan juga akan menjalani proses yang sama dengan model-model N sedia ada, iaitu dibangunkan di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife.

“Pada selekoh-selekoh tertentu, E-GMP N mungkin akan mengatasi kereta prestasi dengan enjin pembakaran dalaman”, jelas Albert Biermann lagi.

Beliau juga jelas teruja kerana turut menyebut berkenaan lakaran kereta prestasi elektrik N tersebut yang telah dibuat. “Saya tak boleh sorok keterujaan saya selepas melihat lakaran yang ditunjukkan oleh SangYup Lee kepada saya baru-baru ini,” kata Biermann. Lee adalah ketua di Pusat Rekaan Global Hyundai.

E-GMP adalah platform pertama Hyundai yang dihasilkan khas untuk pembangunan model-model elektrik. Platform modular berkenaan bukan hanya untuk Hyundai, malah ia akan menjadi asas kepada model-model elektrik Hyundai Group lain seperti Kia, Genesis dan juga jenama elektrik sepenuhnya Ioniq.

Platform tersebut telah pun digunakan pada Ioniq 5 EV yang telah didedahkan pada Februari lalu Hyunai Group merancang untuk memperkenalkan 23 model EV termasuk 11 model yang hanya dihasilkan sebagai varian EV sahaja, serta mensasarkan untuk menjula lebih sejuta kereta elektrik di seluruh dunia menjelang 2025.