Tidak lama selepas memperkenalkan model edisi terhad Ferrari F8 N-Largo, Novitec menampilkan pula kit naik taraf baharu untuk SF90 Stradale. Hypercar ini sesuai untuk mereka yang mahukan ledakan prestasi yang lebih padu tanpa mengubah imej asalnya.
SF90 diberikan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghasilkan jumlah kuasa sebanyak 1,000 PS dan 800 Nm, hasil tiga motor elektrik. Dengan transmisi dwi-klac wet lapan-kelajuan serba baharu, SF90 boleh dipecut dari titik pegun ke 100 km/j dalam 2.5 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 340 km/j.
Apa yang ditawarkan oleh Novitec ialah sistem ekzos prestasi tinggi, yang mampu meningkatkan output hingga 1,033 PS dan tork 858 Nm. Active flap boleh ditentukan, tetapi dengan kit termasuk corong paip keluli tahan karat berkembar dengan hiasan gentian karbon. Kabin juga boleh dikustom dengan material dan warna yang berlainan.
Lain-lain peningkatan termasuklah Novitec sport springs yang merendahkan jentera sebanyak 30 mm di hadapan dan 25 mm di belakang, menyerlahkan lagi roda Vossen baharu. Ia juga menawarkan sehingga 72 warna termasuk serlahan Bronzino, ukuran hadapan 9.5J x 20 (tayar 255/35; sama seperti model asal) dan 12J x 21 dengan 325/35 (model asal SF90 dapat roda belakang 20-inci dengan tayar 315/30) di belakang.
Tiada perubahan yang dilakukan pada sistem hibrid, bermaknanya ia masih kekal menggunakan pek bateri lithium-ion 7.9 kWh standard (diletakkan di belakang tempat duduk) dan masih menawarkan jarak semua-elektrik sehingga 25 km. Apabila beroperasi dalam mod elektrik, jentera ini hanya menggunakan dua motor elektrik pada gandar hadapan (efektif menjadikannya sebagai Ferrari pertama dengan pacuan roda-hadapan apabila berada dalam mod elektrik), dan boleh mencapai sehingga 135 km/j.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.