Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Selepas pelbagai gambar intipan dan juga teaser rasmi disiarkan, akhirnya Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan secara rasmi hari ini. Kemaskini terbaharu ini bukan sahaja menampilkan perubahan besar yang ditampilkan pada bahagian luaran untuk kali kedua, malah ia turut diberikan penambahbaikkan teknologi serta barisan varian yang disemak semula.

Untuk model facelift 2022, Iriz ditawarkan hanya dalam tiga varian iaitu 1.3 Standard, 1.6 Executive dan juga 1.6 Active. Jadi bukan sahaja model 1.3 Standard tidak lagi ditawarkan dalam kotak gear manual, malah model Premium kini digantikan dengan varian Active baharu yang menampilkan rupa yang menjadikan hatchback segmen-B ini seakan sebuah SUV.

Model 1.3 Standard dijual pada harga bermula RM40,300, diikuti 1.6 Executive dijual pada harga RM47,800, manakala model tertinggi 1.6 Active pula dijual pada harga RM54,000. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, bersama pengecualian cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan sehingga 31 Disember nanti. Iriz kekal diberikan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Seperti yang diketahui, Iriz facelift 2022 ini dilancarkan sekali dengan kembar sedannya iaitu Persona. Untuk kali ini, Iriz dan Persona berkongsi lampu, gril dan bampar yang sama, cuma dibezakan dengan berberapa perincian kecil. Kluster lampu masih nampak sama seperti sebelum ini, namun gril infinite weave telah direka semula yang kelihatan hampir sama seperti gril pada Proton X50, lengkap dengan jalur serlahan merah di bawah dan juga logo baru Proton berbentuk bulat di tengah.

Iriz juga kini nampak lebih garang kerana jalur krom pada bahagian atas lampu dan gril kini diganti dengan jalur dalam kemasan hitam berkilat (Persona masih lagi dalam kemasan krom). Bampar model kemaskini ini turut menerima perubahan ketara di mana bahagian perumah lampu nyalaan siang LED direka lebih ‘berotot’, bersama bahagian bawah yang direka seakan spoiler.

Tiada perubahan dapat dilihat pada bahagian sisi kecuali rim dengan rekaan baharu, begitu juga di belakang dimana kemasan hitam pada pintu tailgate dan juga rekaan bampar masih kekal, cuma diberikan satu serlahan jalur merah pada kemasan bawah bampar.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Bagi model 1.3 Standard, ia kini menerima rim aloi 15-inci yang nampak sama seperti unit pada Persona sebelum ini. Manakala model 1.6 Executive pula kini diberikan rim lebih besar dengan saiz 16-inci rekaan jejari-Y baharu dalam kemasan perak bersama tayar 185/55R16.

Manakala untuk Iriz Active, ia adalah versi produksi sebenar model konsep yang didedahkan Proton pada tahun 2014. Model ini diberikan pelbagai kemasan tambahan pada bahagian luaran bagi memberikan rupa lebih lasak seakan sebuah SUV, atau lebih spesifik sebagai ‘Baby X50’.

Oleh itu, model Active ini diberikan pelindung plastik bawah sisi badan pada pintu dan juga fender flare pada setiap ruang roda yang kelihatan seperti dilekatkan dengan bol Allen, seakan Satria GTI dan juga Satria Neo CPS. Pelindung-pelindung berkenaan diberikan disekeliling badan, dilengkapkan menerusi skid plate kemasan perak pada bampar hadapan dan belakang serta pada skirt sisi.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Kabin Iriz facelift 2022 untuk varian Active

Gril bawah bampar pada Iriz Active ini juga berbeza, tampil dengan elemen sarang lebah, dan ia satu-satunya varian Iriz yang menerima lampu hadapan jenis LED. Rupa sebuah SUV pada model ini dilengkapkan dengan rel bumbung berwarna perak yang nampak menyerlah pada bumbung berwarna hitam.

Bagi memberikan lebih unsur ‘Baby X50’, Iriz turut ditawarkan dengan warna badan yang sama seperti abangnya iaitu Passion Red dan Citric Orange. Model 1.6 Executive juga ditawarkan dengan dua warna istimewa tersebut termasuk lima warna lain iaitu Ocean Blue, Armour Silver, Snow White, Ruby Red dan Jet Grey (dua warna terakhir tidak ditawarkan untuk Active. Manakala model Standard pula tidak diberikan pilihan warna Passion Red dan Citric Orange.

Iriz juga menerima perubahan ketara pada bahagian dalaman, terutamanya pada bahagian tengah papan pemuka dan juga konsol terowong. Bagi membolehkan ia menerima skrin infotainmen lebih besar, skrin tersebut tidak lagi ‘ditanam’ dalam papan pemuka, sebaliknya diberikan rekaan berdiri sendiri dengan liang pendingin hawa yang direka melintang di bawahnya bersama suis lampu hazard dan pengunci pintu pusat disusun di tengah.

Kabin Iriz facelift 2022 untuk varian Execuitve (kiri) dan Standard (kanan)

Suis kawalan pendingin hawa juga nampak jauh lebih moden dengan rekaan seakan sama dengan X50, menampilkan dua suis putar untuk mengawal suhu dan kelajuan blower, paparan digital tersendiri di tengah, serta suis-suis kawalan lain yang diletakkan seakan kekunci piano. Namun sistem pendingin hawa ini sebenarnya masih manual dan bukan automatik.

Konsol terowong juga menerima rombakan besar dengan suis penderia parkir dan kawalan kestabilan elektronik yang dialih ke bahagian hadapan tuil penukar gear bersama suis mod Eco baharu, ruang storan dan pemegang cawan yang di atur semula serta ditambah dengan perehat tangan yang dibalut dengan material sentuhan lembut.

Dengan adanya perehat tangan berkenaan, dua port USB pada bahagian berkenaan telah dialihkan kebelakang dan ia secara tidak langsung memudahkan penumpang belakang untuk menggunakannya. Secara keseluruhan kabin Iriz facelift ini menerima sejumlah enam port USB yang terdiri satu port untuk data, dan lima selebihnya untuk mengecaj.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Berbalik kepada sistem infotainmen, model Executive dan Active menerima skrin lebih besar bersaiz lapan inci. Walaupun skrin untuk kedua-dua varian ini nampak sama, tetapi sebenarnya masing-masing menerima sistem yang berlainan.

Untuk model Executive, ia hanya beroperasi dengan sistem infotainmen biasa. Manakala untuk varian Active, ia menerima sistem Geely Key User Interface (GKUI) dengan eSIM yang hampir sama dengan sistem pada Proton X50 dan X70. Jadi ia bukan sahaja mampu untuk mengoperasikan sistem navigasi atas talian, streaming muzik Jook dan hubungan WiFi.

Sistem arahan suara “Hi Proton” pada Iriz Active ini juga telah dipertingkat berbanding Iriz Premium terdahulu di mana ia bukan hanya terhad kepada fungsi pada skrin infotainmen sahaja, ia juga kini boleh mengawal tingkap berkuasa dan juga pendingin hawa. Malah satu antaramuka khas yang membolehkan anda mengawal pendingin hawa juga disediakan pada skrin berkenaan.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Selain itu Iriz juga menerima roda stereng dengan rekaan beg udara berbeza yang diberikan logo baharu Proton. Ia kekal diberikan kemasan tiang dan pelapik bumbung berwarna hitam dan juga kemasan-kemasan piano black pada varian Standard dan Executive.

Manakala untuk varian Active, ia menerima upholsteri tempat duduk gabungan fabrik dengan corak seperti papan litar dan juga kulit serta serlahan jahitan benang merah, tulisan ‘Active’ yang disulam pada tempat duduk dan panel dalaman pintu, karpet kaki istimewa Active, tali pinggang keledar berwarna merah, set pedal aloi, dan juga serlahan-serlahan merah pada sekeliling liang pendingin hawa, konsol terowong, gegelang paparan meter, benang jahitan serta suis kawalan pada roda stereng.

Kesemua varian Iriz kini menerima kelengkapan asas seperti hubungan Bluetooth pada radio dan kawalan penghawa dingin digital dan juga tombol gear gaya X70 balutan kulit. Model Standard hanya diberikan dua pembesar suara, tempat duduk balutan fabrik, dan oleh kerana tiada lagi model 1.3 Executive, penderia parkir hadapan yang boleh ditemui pada Iriz dengan enjin 1.6 liter.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Model 1.6 Executive pula menerima penambahan ciri seperti lampu nyalaan siang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai info berwarna pada papan meter, lampu hadapan automatik, tempat duduk balutan leatherette, empat pembesar suara dan kamera undur. Manakala varian Active menerima suis kawalan telefon dan radio pada roda stereng.

Tiada perubahan diberikan pada sistem mekanikal di mana Iriz Standard masih dijana enjin 1.3 liter VVT berkuasa 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm, manakala model Executive dan Active pula dijana enjin 1.6 liter VVT berkuasa 109 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm.

Seperti yang diberitahu tadi, tiada lagi pilihan kotak gear manual lima-kelajuan walaupun pada model 1.3 Standard. Kesemua model Iriz kini hanya menerima kotak gear CVT Punch, dan tiada penukaran kepada kotak gear 4AT yang sama dengan Saga seperti khabar angin yang bertiup sebelum ini.

Proton Iriz facelift 2022 dilancarkan – varian Active seakan SUV, pelbagai tingkat taraf rupa dan teknologi

Walau bagaimanapun, Proton ada membuat rombakan semula pada perisian sistem rangkaian kuasa pada Iriz facelift ini bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Iriz kini menerima butang mod pemanduan Eco, berbanding hanya lampu penunjuk Eco pada model sebelum ini.

Jadi anda tidak lagi perlu mengawal kaki kanan anda untuk berada dalam pemanduan efisien kerana dengan butang berkenaan, ia akan memberikan talaan enjin dan transmisi yang lebih ‘malas’ bagi memberikan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

Manakala untuk transmisi, jika anda perhatikan tiada lagi posisi ‘L’ pada penunjuk penukar gear sebaliknya digantikan dengan dengan posisi ‘S’ – Proton masih belum memperincikan berkenaan mod baharu berkenaan, namun perkara ini akan kami laporkan selepas berpeluang untuk bercakap dengan pasukan R&D Proton sedikit masa lagi.

Bagi keselamatan pula, kesemua varian menerima kawalan kestabilan elektronik, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix dibelakang, serta menerima bantuan mula mendaki. Model Standard masih kekal dengan dua beg udara, namun model Executive kini sudah pun menerima enam beg udara. Proton Iriz 2022 juga menerima penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP terbaru yang dilakukan pada Disember 2020.

Jadi bagaimana dengan Iriz facelift 2022 ini? Ada yang tergoda dengan Iriz Active?

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022

GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022 di Regal Auto PJ

GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022 di Regal Auto PJ

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required